Rabu, 14 Disember 2016 | 12:07am

Amy Mastura belajar daripada bakat baharu

KUALA LUMPUR: Menelusuri karier bintang ini yang bertahan lebih dua dekad dalam industri, pasti ramai bersetuju jika gelaran selebriti 'sifar kontroversi' layak diberi kepada artis serba boleh, Amy Mastura, 45.

Tanyalah pemerhati dunia hiburan termasuk pengamal media, orang kuat industri rakaman mahupun pembikin filem, rata-rata bersetuju Amy layak diletakkan dalam kumpulan artis bebas cerita sensasi, jauh sekali kontroversi yang memakan diri.

Tidak pernah bergantung atau mengharapkan cerita kurang manis dijaja demi menaikkan nama mahupun rating produk ditunjangi, Amy berada dalam kelas tersendiri.

Mengakui cerita panas secara umumnya mampu meningkatkan populariti bintang, Amy yang sudah 23 tahun mengabdikan diri dalam dunia seni, punya formula tersendiri dalam mengekalkan namanya dalam industri hiburan.

Secara berseloroh, Amy mengaku pernah cuba 'mencetuskan' kontroversi ketika namanya memuncak, namun usahanya itu tidak dilayan.

"Saya pernah juga cuba timbulkan isu tetapi entah mengapa, tidak dilayan. Orang nak buat jahat dengan sayapun tak ada," katanya tertawa besar.

Jelas Amy, persoalan mengenai publisiti murah dan kaitannya dengan kontroversi atau cerita sensasi banyak bergantung kepada cara artis berdepan dan menangani isu.

"Apabila terpalit sesuatu isu, ada antara artis berani menghadapinya. Tetapi tidak kurang juga ada yang malu untuk berdepan dengan orang ramai.

"Allah juga ada nyatakan, kalau Dia mahu menduga seseorang, Dia akan turunkan ujian pada mereka yang mampu hadapi.

"Mungkin kerana saya jenis yang tidak mampu menghadapi ujian dan dugaan, sebab itulah tiada kontroversi yang timbul mengenai diri saya sepanjang bergiat dalam dunia seni," katanya sambil bersyukur perjalanan karier seninya dipermudahkan sejak mula bergelar artis.


AMY Mastura pernah memenangi Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 1994. - Foto Aziah Azmee


AMY Mastura Suhaimi boleh dianggap artis sifar kontroversi - Foto Aziah Azmee

Sentiasa positif, ceria

Memulakan karier di pentas program realiti, Asia Bagus pada tahun 1993, Amy atau nama penuhnya, Amy Mastura Suhaimi ada strategi sendiri untuk memastikan namanya terus relevan.

Sentiasa positif dalam berperwatakan ceria, Amy memberitahu, sebagai 'orang lama', dia tidak ada masalah berdepan pendatang baharu, jauh sekali berlagak 'diva' dengan mereka.

"Jangan diva sebab nanti kita tak pandai," katanya berterus terang.

Amy berkata, setiap kali dapat bekerjasama dengan bakat baharu, dia tidak mahu melepaskan peluang belajar mengenai pelbagai gaya dan taktik baru yang diamalkan mereka.

"Mereka datang bukan kosong. Jadi saya rasa perlu belajar cara mereka supaya selari dengan peredaran masa yang semakin moden. Ia adalah perkara yang bagus. Bagi saya, adalah perlu bagi selebriti lama mempelajari elemen baharu.

"Cara lama yang kita sudah lalui boleh dijadikan kenangan indah dan sejarah. Saya hargai kehadiran anak seni baharu yang membawa pembaharuan dan perubahan dalam dunia seni, malah kita perlu beri sokongan.

"Saya bukan saja belajar dengan pelakon baharu. Malah orang di belakang tabir seperti jurusolek. Kalau tidak macam mana kita mahu bersama-sama memeriahkan industri," katanya.


AMY Mastura kini sibuk promosi single terbaharu, Kalimah. Foto Aziah Azmee

Suami dalam klip video

Penyanyi Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 1994 ini memberitahu, bagi mengekalkan status sebagai penyanyi, dia perlu muncul dengan produk baharu.

Tampil dengan single Jom Menari Lerr tahun lalu, Amy kini sibuk mempromosikan single baharu berjudul Kalimah, ciptaan Adif Jauhari.

Tidak pernah membabitkan anggota keluarga dalam kerjaya seninya, buat julung kalinya, Amy menampilkan suaminya, Alvin Tham Suffian dalam klip video lagu itu.

"Penggambaran dilakukan di rumah kami. Memandangkan model lelaki sibuk dan tidak dapat datang, secara kebetulan suami baharu pulang dari kerja.

"Secara spontan dia terus masuk dalam set... Dia okay saja," katanya yang terpaksa menolak beberapa tawaran program seperti Memikat Hati Suami dan Romantika membabitkan suami dek bimbang komitmen kerja yang tidak menentu.

Bercerita mengenai lakonan pula, Pelakon Wanita Terbaik, Festival Filem Malaysia (FFM) 1999 melalui filem Puteri Impian ini baru selesai menjalani penggambaran drama 13 episod berjudul Jejak Karmila.

Beraksi bersama aktres, Fauziah Ahmad Daud dan Fauziah Nawi, drama itu akan ditayangkan menerusi slot Zehra di TV3, Disember ini.

Selain itu, Amy juga akan bekerjasama dengan pengarah, Micheal Ang untuk sebuah drama bersama Jihan Musa.

Jika suami yang pertama kali ditayangkan dalam muzik videonya, ibu kepada dua puteri, Adriana Tam, 15 dan Adalia Tam, 11, ini juga tidak mahu menghalang andai anak-anaknya menceburi dunia seni.

"Kedua-dua anak sudah menunjukkan minat ke arah itu. Adalia mula mengikut saya ke sesi latihan teater sejak berusia tiga tahun lagi. Sejak itu, di sekolah, dia aktif menyanyi, bermain muzik dan kadang kala ditawarkan berlakon.

"Adriana pula lebih suka kerja di belakang tabir seperti bahagian teknikal dan perkomputeran. Kalau mereka hendak sambung pengajian dalam bidang seni di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaaan (ASWARA), saya setuju dan tidak akan menghalang," katanya.


AMY Mastura sudah 23 tahun mengabdikan diri kepada dunia seni. - Foto Aziah Azmee

Info

  • Nama : Amy Mastura Suhaimi
  • Usia: 45 tahun
  • Tarikh lahir: 10 Mei 1971
  • Tempat lahir: Batu Gajah, Perak,
  • Kerjaya awal: Pramugari Penerbangan Malaysia (MAS) pada 1989 - 1994
  • Album: Amy Mastura (1994), Pujaanku (1996), Puteri (1997), Bintang Hati (2000), Akan Datang (2002), Lebih Baik (2005), Happy (2009)
  • Filem: Impian (1996), Puteri Impian (1997), Puteri Impian 2 (1998) Bintang Hati (2004), Damping Malam (2010).
  • Telefilem: Tol Gate Girl (2001), Ice Cappucino Machiato (2007), Hantu Susu (2011), Hati Untuk Siapa (2014), Suamiku Seorang Vampire (2015)
  • Anugerah dan pencapaian:

    * Pelakon Wanita Terbaik - Festival Filem Malaysia 1999 (Puteri Impian)

    * Penyanyi Wanita Popular - Anugerah Bintang Popular BH 1994

    * Pelakon Filem Wanita Popular ABPBH 1998/1999

20 dibaca
AMY Mastura sentiasa positif, ceria. - Foto Aziah Azmee
Berita Harian X