Isnin, 12 Disember 2016 | 9:23pm

Abu Sayyaf bebaskan 2 kru bot tunda Indonesia


KEDUA-DUA tebusan Indonesia yang dibebaskan militan Abu Sayyaf.

MANILA: Militan Abu Sayyaf membebaskan dua kru bot tunda Indonesia hari ini yang diculik dan ditahan di kawasan hutan selatan Filipina, enam bulan lalu.

Kumpulan pengganas itu terkenal dengan aktiviti penculikan dan memeras wang tebusan bagi menampung operasi mereka.

Jurucakap tentera wilayah, Mejar Filemon Tan, berkata kumpulan itu membebaskan Mohammad Nazer dan Robin Peter kepada seorang komander Barisan Hadapan Pembebasan Moro (MNLF) di satu lokasi berhampiran bandar Indanan, wilayah Sulu susulan tekanan serangan tentera.

MNLF menyertai beberapa rundingan damai dengan kerajaan ketika ini dan sering bertindak sebagai orang tengah dalam pembebasan tebusan Abu Sayyaf. Tidak jelas jika wang tebusan sudah dibayar.

Sejak beberapa bulan lalu, tentera menjalankan operasi ke atas kumpulan pengganas militan itu. Sabtu lalu, pertempuran antara tentera dan 150 militan Abu Sayyaf menyaksikan 10 militan terbunuh dan tiga anggota tentera terkorban. -AP

33 dibaca
Berita Harian X