Isnin, 12 Disember 2016 | 5:48pm

Padah cuba masuk kondo ikut dapur


KETUA Polis Daerah Johor Bahru Utara (JBU), Asisten Komisioner Mohd Taib Ahmad. - Foto Hairul Anuar Rahim

JOHOR BAHRU: Seorang lelaki maut dipercayai terjatuh dari kediamannya di tingkat 20 sebuah kondominium di Tampoi di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 pagi, mangsa yang hanya dikenali sebagai Mohamad, 23, dikatakan cuba memasuki rumah sewanya melalui tiang melintang yang menghubungkan koridor dan bahagian dapur berikutan tiada kunci.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Mohd Taib Ahmad, berkata polis menerima panggilan pada jam 3.59 pagi berhubung kejadian berkenaan sebelum bergegas ke lokasi kejadian.

"Seorang rakan serumahnya memberitahu, kali terakhir mangsa menghubunginya ialah pada jam 3.20 pagi tetapi beliau tidur di bilik.

"Mangsa dipercayai mahu memasuki rumah tetapi oleh kerana tiada kunci, dia berjalan melalui tiang melintang berkenaan tetapi terjatuh.

"Siasatan awal polis mendapati tingkap dapur dalam keadaan separuh terbuka," katanya di sini, hari ini.

Mohd Taib berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini.

Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) manakala jenazah dituntut ahli keluarga sebelum dibawa ke Melaka untuk pengebumian.

Berita Harian X