Isnin, 12 Disember 2016 | 12:54pm

Mangsa terjejas gempa sambut Maulidur Rasul

Gambar yang diambil pada 11 Disember 2016 menunjukkan kerja pemberisahan runtuhan sebelah masjid Quba yang rosak dalam gempa bumi di Pidie Jaya, wilayah Aceh. - Foto AFP

PIDIE JAYA, Aceh: Walaupun masyarakat di bandar ini masih trauma selepas sebahagian kawasan rosak teruk akibat gempa bumi kuat Rabu lalu, ia tidak menghalang mereka mengadakan sambutan Maulidur Rasul, hari ini.

Program ceramah agama dan selawat ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad menjadi pengisian dengan masyarakat setempat menjadikan pekarangan masjid serta pusat penempatan sementara sebagai lokasi berkumpul sambil mengingati perjuangan Rasulullah SAW.

Mahadal Ulum Diniyah Islamiah (MUDI) di kawasan Samalangka dalam daerah Bireuen, turut menganjurkan sambutan itu yang disertai lebih 500 pelajarnya.

MUDI yang menempatkan lebih 3,000 pelajar, antara madrasah yang terjejas teruk ketika bandar Pidie Jaya dikejutkan dengan gegaran kuat 6.5 magnitud awal pagi Rabu lalu.

Selain kubah masjidnya runtuh, bangunan pentadbiran yang menempatkan kakitangan pengurusan turut musnah dan perlu dibina semula.

Namun, hanya tujuh kecederaan direkodkan di madrasah ini, membabitkan pelajar dan tenaga pengajar.

Tinjauan BH di lokasi terbabit mendapati kerja pembersihan masih dijalankan dengan menggunakan jentera berat seperti jengkaut.

Berita Harian X