Isnin, 12 Disember 2016 | 11:14am
Mayat mangsa dihantar ke QEH1 untuk tindakan lanjut. - Foto ihsan Polis

Remaja hilang ditemui lemas di Pantai Tanjung Aru


Mayat mangsa ditemui terdampar di Pantai Tanjung Aru, pagi tadi, iaitu kira-kira satu kilometer dari kawasan dia dilaporkan hilang, semalam. - Foto ihsan Polis

KOTA KINABALU: Seorang remaja yang dilaporkan hilang ketika berkelah bersama keluarga di Pantai Tanjung Aru di sini, semalam, ditemui lemas, pagi tadi.

Mayat Khairul Firdaus Lamasin, 17, ditemui terdampar di pantai terbabit oleh orang awam yang berjoging di kawasan itu kira-kira jam 6.30 pagi.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner M Chandra, berkata mangsa ditemui kira-kira satu kilometer dari lokasi dilaporkan hilang ketika mandi di Pantai Tanjung Aru 3, jam 12 tengah hari semalam.

"Mangsa sebelum ini dilaporkan hilang ketika mandi di kawasan pantai berkenaan dan operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan namun gagal ditemui sehingga operasi ditangguhkan pada jam 6.24 petang semalam," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Katanya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Queen Elizabeth 1 (QEH1) untuk tindakan lanjut dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

21 dibaca
Berita Harian X