Selasa, 9 Disember 2014 | 7:18pm
THT menentang Maybank separuh akhir pertama Piala TNB, esok jam 5.00 petang di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil.

Hoki: Debaran separuh akhir Piala TNB gamit THT

KUALA LUMPUR: Sekalipun dilabel pilihan, Pasukan Hoki Terengganu (THT) tetap berwaspada dengan ancaman Maybank.

Kedua-dua pasukan akan berentap dalam saingan separuh akhir pertama Piala TNB, esok dan jurulatihnya, Sarjit Singh tuntut anak didiknya usah pandang remeh lawan.

"Maybank membuktikan mereka ada ramuan membuat kejutan dan lawan berada pada prestasi terbaik tepat pada masanya.

"Kami tidak akan memandang mudah cabaran daripada mereka sekali pun rekod kami lebih baik ketika menentang mereka sebelum ini.

"Tapi ingat...rekod tak boleh menjadi sandaran dalam situasi perlawanan kalah mati seperti ini," kata Sarjit.

Dalam perlawanan Liga Perdana sebelum ini, THT menewaskan Maybank 4-3 dan kemudian 6-1 dalam pusingan kedua liga berkenaan.

Dalam perlawanan separuh akhir yang lain, Tenaga Nasional Berhad (TNB) akan menentang Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC) di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil.

KLHC memiliki kelebihan berbanding lawan selepas menewaskan mereka 5-3 dalam Perisai Komuniti dan kemudian 3-1 dalam pusingan kedua liga.

Jurulatih TNB, Nor Saiful Zaini akur mereka berdepan ranjau sukar, esok bertemu lawan yang stabil pada setiap posisi.

"Kita memberi yang terbaik untuk mara ke separuh akhir.

"Walaupun berjaya mengatasi Sapura saya kurang puas hati dengan persembahan keseluruhan pasukan.

"Kami harus meningkatkan tahap persembahan jika mahu mencipta sesuatu positif nanti," kata bekas kapten skuad negara itu.

JADUAL

Separuh akhir pertama Piala TNB

Esok

Terengganu HT mln Maybank

(Std Hoki Kuala Terengganu, 5 ptg)

Tenaga mln Kuala Lumpur HC

(Std Hoki Nasional, Bukit Jalil, 6 ptg)

12 Disember

Separuh akhir kedua

Maybank mln Terengganu HT

(Std Hoki Nasional, Bukit Jalil, 6 ptg)

Kuala Lumpur HC mln Tenaga

(Std Hoki Nasional, Bukit Jalil, 8 mlm)

Berita Harian X