Ahad, 11 Disember 2016 | 6:48pm

Gempa Aceh: Mangsa takut pulang ke rumah


ABD Halim melawat tapak perkhemahan mangsa gempa bumi di Pidie Jaya, Aceh.

GEORGETOWN: "Masih banyak mangsa terpaksa tidur di masjid dan khemah selepas rumah mereka ranap," kata Abd Halim Kudri, yang menjadi antara sukarelawan pertama tiba di kawasan gempa bumi di Pidie Jaya, Aceh, Jumaat lalu.

Abd Halim yang mewakili Pertubuhan Himpunan Lepasan Institusi Pendidikan Malaysia (HALUAN) berkata, sehingga kini beberapa gegaran susulan masih berlaku di kawasan Pidie Jaya menyebabkan ramai penduduk tidak berani pulang ke rumah.

Katanya, pasukan keselamatan juga menasihatkan penduduk agar tidak pulang ke rumah berikutan terdapat banyak kerosakan pada kediaman berkenaan yang boleh roboh pada bila-bila masa.

"Keadaan di sana sangat menyedihkan, mangsa gempa kehilangan orang tersayang dan harta benda. Mereka terpaksa menumpang di masjid atau tidur di kawasan lapang kerana masih berlaku gempa susulan.

"Kebanyakan mangsa gempa di Aceh masih dalam keadaan trauma dan ada yang masih enggan pulang ke rumah masing-masing kerana bimbang akan keselamatan," katanya yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) di sini, petang tadi.

Dalam kejadian Rabu lalu, dianggarkan lebih 45,000 penduduk hilang tempat tinggal selepas 11,000 rumah rosak susulan gempa bumi sekuat 6.5 skala Ritcher yang menyebabkan 102 penduduk maut.

Mengulas lanjut, Halim berkata, kebanyakan kawasan yang dilanda gempa bumi juga terputus bekalan elektrik, air bersih dan perhubungan darat menyebabkan bantuan sukar dihantar kepada mangsa.

"Mangsa gempa bumi sangat berharap bantuan luar terutamanya bagi membantu membaiki infrastruktur asas dan rumah penduduk yang rosak teruk.

"Setakat ini stok makanan adalah mencukupi dan kita berharap rakyat Malaysia dapat menghulurkan bantuan dalam bentuk sumbangan wang bagi membolehkan mangsa membeli barang keperluan yang dikehendaki," katanya.

Berita Harian X