Ahad, 11 Disember 2016 | 4:37pm

Tukang cat ditemui lemas


Tempat lokasi mangsa, Mohd Azwan Harun, 36, yang ditemui lemas di Sungai Kelantan di Kampung Kutan Sungai. - Foto Nik Abdullah Nik Omar

TUMPAT: Hasrat melihat orang memancing berakhir tragedi bagi seorang tukang cat apabila ditemui lemas selepas terjatuh ke dalam sungai di Kampung Kutan Sungai di sini.

Mayat Mohd Azwan Harun, 36, ditemui terapung oleh sepasukan anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) pada jam 11.45 pagi tadi di di sungai berkenaan.

Sepupu mangsa, Siti Fadilah Che Kob @ Yaakob, 38, berkata mangsa keluar rumah kira-kira jam 5 petang semalam untuk ke rumah rakannya di Kampung Kutan Sungai.

Katanya, Allahyarham tinggal berdekatan bersama adiknya, Mohd Azizi Harun, 31, yang menghidap Sindrom Down.

"Saya pelik apabila Azwan tidak pulang sehingga jam 10 malam tadi sebelum jiran memaklumkan kejadian kira-kira jam 11 malam tadi," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Kutan Tengah di sini.

Siti Fadilah berkata, sepupunya itu tidak pernah ke sungai terbabit dan tiba menyatakan hasrat menyaksikan orang memancing kepada seorang rakannya.

Azwan dikatakan mengalami kekejangan otot ketika berada di tebing sebelum terjatuh ke dalam sungai. Ketika kejadian, hanya seorang rakannya berada di tepi sungai itu sebelum meminta pertolongan penduduk kampung.

Apabila rakannya itu kembali ke sungai bersama penduduk untuk membantu, mereka cuma menemui selipar mangsa di tebing sungai.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat, Tumpat, Penolong Penguasa Bomba Wan Baijuri Wan Hassan, berkata pihaknya menerima panggilan pada jam 11.27 malam tadi sebelum menggerakkan usaha mencari setengah jam kemudian dan disambung pagi tadi.

"Enam anggota PPDA dari Balai Bomba Pengkalan Kubor terbabit dalam operasi mencari dan mayat mangsa ditemui terapung pada jam 11.45 pagi tadi di tempat dia dilaporkan terjatuh," katanya.

Berita Harian X