Selasa, 9 Disember 2014 | 6:50pm

Pasaran getah ditutup rendah

KUALA LUMPUR: Pasaran getah Malaysia ditutup rendah hari ini berikutan penyusutan harga minyak mentah selain penurunan di Bursa Komoditi Tokyo (TOCOM) dan Bursa Niaga Hadapan Shanghai, kata seorang peniaga.

Katanya, permintaan di pasaran getah tempatan sememangnya diunjur lemah ketika niaga hadapan minyak mentah jatuh ke paras terendah dalam tempoh lebih lima tahun.

Harga minyak mentah Brent bagi Januari mencecah paras rendah AS$65.33 setong hari ini ekoran kebimbangan mengenai lebihan penawaran.

"Dalam pada itu, ada laporan mengenai rancangan pekebun getah Thailand untuk mengadakan demonstrasi bagi memaksa kerajaan tentera itu memberi lebih banyak sokongan terhadap harga komoditi itu. Tindakan demonstrasi jalanan yang dirancang minggu ini adalah bertentangan dengan undang-undang tentera," katanya.

Pada penutup, harga fizikal rasmi Lembaga Getah Malaysia bagi gred tayar SMR 20 susut 8.5 sen kepada 494.5 sen sekilogram manakala susu getah pukal turut jatuh 5.5 sen kepada 352 sen sekilogram.

Harga tidak rasmi pada penutup bagi gred tayar SMR 20 susut enam sen kepada 497 sen sekilogram manakala susu getah pukal merosot tiga sen kepada 351 sen sekilogram.

- BERNAMA

Berita Harian X