Ahad, 11 Disember 2016 | 3:18pm

Tunduk dengan PAS, sikap Azmin diselar

Wakil Selangor, Jamzuri Ardani berucap pada perbahasan pidato presiden di Konvensyen Nasional Parti Amanah Negara. - Foto facebook Parti Amanah Negara

SHAH ALAM: Parti Amanah Negara hari ini menyelar sikap Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, yang dilihat terlampau tunduk dengan PAS.

Wakil Selangor, Jamzuri Ardani, berkata Mohamed Azmin gagal berbuat apa-apa apabila program anjuran parti itu sering dihalang oleh pemimpin PAS, termasuk untuk menggunakan dewan.

"Ketua kampung daripada PAS, ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) PAS, Ahli Majlis PAS dan EXCO PAS membantah serta menghalang kita mengadakan kuliah di masjid.

"Halangan ini datangnya daripada pihak PAS yang tidak senang dengan gerak-geri parti ini.

"Kepada MB (Menteri Besar), jika Parti Amanah tidak menang banyak kerusi, kita bimbang MB selepas pilihan raya akan datang akan duduk di blok pembangkang. Unsur duri dalam daging dalam kerajaan negeri kena dibuang segera," katanya dalam ucapan perbahasan pidato presiden di Konvensyen Nasional Parti Amanah Negara di sini, hari ini.

Jamzuri berkata, parti serpihan PAS itu tidak 'lapar' jawatan dan kedudukan dalam pentadbiran negeri, namun mengingatkan Mohamed Azmin untuk menghormati pemimpinnya sebagai antara komponen penting kerajaan negeri.

"Walaupun wakil rakyat parti ini tidak dibariskan sebagai EXCO, MB perlu meraikan kedudukan kita tanpa kerenah birokrasi yang menekan.

"Pakatan Harapan adalah ibu kepada politik 'ding dong'. Membosankan," katanya.

Dalam perkembangan lain, katanya, parti itu akan menjadi benteng untuk mempertahankan DAP yang dituduh sebagai ekstremis perkauman.

Berita Harian X