Selasa, 9 Disember 2014 | 4:56pm
Ahli Parlimen Setiawangsa, Datuk Ahmad Fauzi Zahari

Mueller miliki kriteria sepadan MAS baharu - Ahli Parlimen

KUALA LUMPUR: Syarikat penerbangan Ireland, Aer Lingus dibelenggu masalah selama bertahun-tahun - kerugian berjuta, kekangan peraturan oleh kesatuan sekerja, serangan bertali arus oleh syarikat penerbangan tambang rendah Ireland, Ryan Air serta syarikat penerbangan lain di Eropah - situasi sama yang dialami Malaysia Airlines (MAS) sekarang.

Namun, hanya dalam tempoh setahun selepas menyertai Aer Lingus pada 2009, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Christoph R Mueller mengubah nasib syarikat penerbangan berusia 78 tahun itu dengan membuat keuntungan secara mampan serta menjana pendapatan menerusi pasaran dan model perniagaan baharu.

Berdasarkan faktor itu serta lain-lain, Khazanah Nasional Bhd pada Jumaat lepas mengumumkan pelantikan Mueller sebagai bakal CEO syarikat baharu (NewCo) Malaysia Airlines Bhd (MAB), dengan menggambarkan beliau sebagai "calon terbaik untuk meneraju pemulihan MAS dan mendidik pengganti tempatan."

Ahli Parlimen Setiawangsa, Datuk Ahmad Fauzi Zahari yang mengikuti secara rapat perkembangan industri penerbangan, menyokong pelantikan bersejarah Mueller sebagai warga asing pertama meneraju MAS.

"Kita sudah menemui 'doktor' penerbangan yang sebelum ini 'merawat' simptom sama yang dialami syarikat penerbangan negara kita. Dengan rekod cemerlang dalam industri penerbangan, terkini memulihkan Aer Lingus, pengalaman dan kepakarannya seolah-olah 'dibuat khusus' untuk memulihkan MAS. Justeru mengapa kita tidak memanfaatkan semua ini untuk membawa MAS ke haluan mampan,?" katanya kepada BERNAMA.

Menurut Ahmad Fauzi, fokus utama ialah menstruktur semula MAS untuk menjadikannya syarikat penerbangan yang kukuh dan menguntungkan agar dapat membanggakan rakyat Malaysia sekali lagi.

"Sesetengah mungkin berkata kita mengetepikan bakat tempatan, tetapi fokus isu ialah menstrukturkan semula MAS. Justeru mengapa kita hendak menafikan MAS akan manfaat pakar penerbangan yang sudah terbukti rekodnya," katanya.

Bagi memperkukuh hujahnya agar rakyat Malaysia perlu menyokong pelantikan warga Jerman itu, beliau berkongsi analogi ini:

"Jika ayah atau ibu saya sakit tenat, saya tidak akan tanya sama ada doktor itu Melayu, Cina atau India atau lain-lain. Bagi saya, dalam keadaan sedemikian kita mahu yang terbaik untuk menyelamatkan pesakit.

"Sama juga dengan syarikat penerbangan negara kita, kerana kita tahu Khazanah ada pelan pemulihan untuk MAS bagi tempoh tiga atau empat tahun akan datang, dan saya berpandangan amat penting ada CEO berkualiti tinggi."

Ahmad Fauzi berkata, kewarganegaraan individu yang mungkin berupaya menyelamatkan MAS daripada terus kerugian tidak penting asalkan beliau diberi peluang melaksanakan tugasnya.

"Mueller akan menjadi CEO pertama yang berpengalaman dalam industri penerbangan mengendalikan MAS. Sebelum ini kita sudah cuba beberapa CEO. Saya cuma berpandangan pada saat ini kita perlu mencari yang terbaik untuk selamatkan MAS. Apa guna jika kita kata kita ada pakar tempatan tetapi MAS masih merundum.

"Memang masih terlalu awal untuk mengetahui sama ada beliau dapat mengembalikan MAS ke landasan keuntungan tetapi rekodnya memberi jaminan dan keyakinan bahawa beliau berupaya memenuhi tugas yang diberi oleh Khazanah untuk memulihkan MAS," katanya.

Ahli Parlimen itu juga menghujahkan tanggungjawab utama Mueller seperti yang digariskan oleh Khazanah termasuk mendidik bakal pengganti bagi mengendalikan NewCo yang pada akhirnya akan meneraju 14,000 pekerja tempatan.

Beliau juga tidak bersetuju dengan cadangan pengambilan warga asing sebagai perunding kerana perkara itu bukan sahaja bertindih dengan fungsi CEO tetapi juga akan menelan perbelanjaan tidak perlu.

Ahmad Fauzi berkata, ini adalah pelan penstrukturan semula terakhir MAS selepas melalui proses penswastaan serta pelan pemulihan pada masa lalu.

"Penstrukturan semula kali ini paling komprehensif dan drastik. Semua orang perlu bersama-sama menanggung beban namun paling penting, sekalipun MAS syarikat penerbangan negara, ia perlu beroperasi sebagai entiti perniagaan.

"Menyelamatkan MAS bukan mengenai agenda Bumiputera atau betapa pentingnya orang tempatan meneraju MAS, tetapi kelangsungan ikon negara. Untuk MAS kembali berjaya, ia perlu beroperasi sebagai perniagaan berasaskan keuntungan, bukan sebagai agenda bumiputera atau negara. Kalau tidak apa guna melabur RM6 bilion untuk pemulihan MAS?"

Khazanah yang memiliki hampir 70 peratus kepentingan dalam MAS pada lewat Ogos, mengumumkan pelan 12 perkara untuk memulihkan syarikat penerbangan negara itu antaranya ialah menyuntik dana RM6 bilion dan memberhentikan 6,000 pekerja.

Kontrak Mueller dengan Aer Lingus akan berakhir pada 1 Mei 2015 dan Khazanah pada minggu lepas dilapor berkata perbincangan masih berlangsung untuk beliau bertugas sebagai CEO lebih awal daripada tarikh itu, atau seawal 1 Mac 2015.

NewCo akan beroperasi pada 1 Julai 2015.

- BERNAMA

Berita Harian X