Sabtu, 10 Disember 2016 | 11:46pm

Gempa Aceh: Biro Kebajikan UMNO tubuh tabung baiki masjid


DATUK Hang Tuah Din (tengah) beramah mesra dengan mangsa terjejas gempa bumi di Pidie Jaya, Aceh. - Foto Aizuddin Saad

PIDIE JAYA, ACEH: Biro Kebajikan UMNO akan menubuhkan tabung kutipan dana bagi memperbaiki sebuah masjid di Aceh, yang mengalami kerosakan teruk akibat gempa bumi kuat pada pagi Rabu lalu.

Tabung itu nanti, kata Ahli Jawatankuasa Biro berkenaan, Datuk Hang Tuah Din, akan diurus tadbir UMNO Bahagian Gopeng, sebagai badan penyelaras bagi memudahkan urusan derma diterima dari 191 bahagian UMNO seluruh negara.

"Kita sudah mengenalpasti satu masjid yang akan dibaiki semula iaitu di Kampung Tu Kec Pante Raja, di sini yang mengalami kerosakan pada bahagian hadapan bangunan terbabit," katanya ketika ditemui hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, sukarelawan misi bantuan bencana biro terbabit akan memasuki kawasan terjejas gempa Selasa ini, bagi menyalurkan bantuan kemanusiaan kepada mangsa terjejas.

Misi itu akan memfokuskan kawasan penempatan sementara mangsa gempa di sekitar Ulee Glee, Trieng Gadeing dan Meureudu, serta pusat bandar Pinde Jaya, yang masih berlindung di masjid, sekolah, balai raya dan premis kedai serta bangunan kerajaan.

Beliau berkata, selain doktor dan jururawat, pihaknya juga akan membawa sekali sekumpulan 10 sukarelawan diketuai sendiri pengerusi biro terbabit yang juga Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Shamsul Annuar Nasarah.

Berita Harian X