Sabtu, 10 Disember 2016 | 6:50pm

PM akan terus bantu masyarakat India

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak memberi jaminan untuk terus melaksana rangkaian pelaburan sosial untuk memacu kemajuan masyarakat India.

Perdana Menteri turut menzahirkan kegembiraan apabila pelaburan berimpak tinggi yang mula dirintis pada 2012 itu kini menyaksikan kesan positif, khususnya dalam membantu golongan India berpendapatan 40 peratus terendah (B40).

Pengarah Unit Pembangunan Sosioekonomi Komuniti India (SEDIC), Prof Datuk Dr NS Rajendran, berkata penghargaan itu disuarakan Najib selepas selesai melawat Expo SEDIC 2016 yang dianjurkan julung kalinya, hari ini.

"Secara ikhlas saya beritahu, Perdana Menteri begitu terharu dan gembira melihat sambutan yang sangat baik.

"Beliau sendiri menyebut 'saya sangat gembira melihat kejayaan kita dalam mengubah kehidupan masyarakat India di peringkat akar umbi menerusi dan bantuan yang disalurkan selama ini," katanya kepada pemberita, sebentar tadi.

Najib yang tiba di pekarangan Batu Caves pada jam 5.10 petang tadi meluangkan masa hampir 30 minit untuk melawat Expo SEDIC 2016 yang disertai lebih 80 pempamer.

Expo julung kali diadakan itu turut menampilkan lebih 100 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan Institut Latihan Kemahiran Swasta (ILKS) yang ditaja oleh kerajaan menerusi SEDIC.

Sejak ditubuhkan pada 2014, unit yang bernaung menerusi Jabatan Perdana Menteri (JPM) itu menyaksikan lebih 300,000 masyarakat India memperoleh manfaat melalui pelbagai program anjuran NGO dan ILKS.

Rajendran berkata, dana khas RM50 juta yang diperuntukkan Perdana Menteri untuk masyarakat India menerusi Bajet 2017 akan diuruskan secara optimum oleh SEDIC, terutama dalam merencana program berimpak tinggi.

"NGO dan agensi yang mendapat dana daripada SEDIC wajib menghantar laporan penilaian setiap tiga bulan bagi memastikan tiada elemen penyelewengan bantuan.

"Contohnya, penilaian impak menerusi dana sebuah agensi yang mendapat peruntukan daripada SEDIC menyaksikan 36 daripada 50 peserta program pendidikan kemahiran teknologi optik mendapat pekerjaan.

"Kita juga optimis baki 14 peserta program ini akan memperoleh pekerjaan dalam tempoh terdekat kerana pendidikan berteraskan kemahiran semakin mendapat tempat di pasaran ketika ini," katanya.

PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak beramah mesra dengan orang ramai ketika melawat Expo SEDIC 2016 di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali
Berita Harian X