Sabtu, 10 Disember 2016 | 6:11am

Pasukan mana pula 'masuk gua' minggu ini?

KOLUM APA KATA EPL: Minggu ke-15 saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) bakal menyaksikan 10 lagi perlawanan bakal berlangsung. Kali ini aksi tumpuan membabitkan pertembungan antara Manchester United dan Tottenham Hotspur di Old Trafford.

Satu lagi perlawanan yang dijangka tidak kurang menariknya, adalah pertemuan antara penyandang juara, Leicester City dan pencabar kejuaraan, Manchester City di Stadium King Power.

Kedua-dua aksi harus mengamit perhatian tatkala Chelsea terus gah di persada pendahulu liga selepas 14 perlawanan dengan kelebihan tiga mata ke atas Arsenal di tangga kedua, hasil himpunan 34 mata.

Ya, minggu lalu, The Blues membuktikan ia adalah calon pilihan utama kejuaraan apabila mengejutkan City, 3-1 di Etihad. Kejayaan itu sekali gus menobatkan Antonio Conte paling menyerlah setakat ini, mengatasi pengendali lain termasuk Pep Guardiola.

Minggu ini, prestasi cemerlang itu dijangka diteruskan lagi oleh Conte dan barisannya apabila mereka menyambut kunjungan West Bromwich di stadium keramat - Stamford Bridge.

Tatkala `Boxing Day' semakin hampir, kita dapat lihat semua kelab gergasi sedang menyusun strategi terbaik untuk tidak tercicir mata termasuk Arsenal, Liverpool dan United, agar tidak ketinggalan jauh di belakang Chelsea.

Liverpool terutamanya, harus paling berhati-hati selepas tewas mengejut 4-3 kepada Bournemouth minggu lalu. Jurgen Klopp perlu bijak mencipta kebangkitan apabila melayan kunjungan West Ham pada awal pagi Isnin.

Begitu juga Arsenal yang turut mara ke saingan kalah mata Liga Juara-Juara selaku juara kumpulan. Stoke City bukan penghalang untuk terus merapati Chelsea atau memintas mereka dengan kelebihan gol.

Berbalik kepada aksi pilihan minggu ini, saya berasakan ia juga bakal 'panas'. United yang mara ke peringkat kalah mati Liga Europa kelmarin, harus memiliki motivasi terbaik untuk meranapkan impian Spurs di Old Trafford.

Tottenham yang mencipta kemenangan 5-0 ke atas Swansea City di White Hart Lane kelihatan sangat bersemangat, namun penyingkiran dari saingan Liga Juara-Juara pada pertengahan minggu, menghadirkan kekecewaan besar buat Mauricio Pochettino.

Menyingkap rekod pertemuan kedua-dua kelab gergasi ini, kita dapat lihat United hanya menang dua kali dalam lapan pertemuan terakhir menentang Spurs yang turut merangkumi tiga kalah dan tiga seri.

Namun Spurs sebaliknya tewas sebanyak 19 kali di Old Trafford selain dua kali menang dan seri tiga kali - kekalahan paling banyak bagi aksi di tempat lawan.

Dalam tiga pertemuan terakhir di Old Trafford, United jelas unggul apabila menang dua kali iaitu pada 8 Ogos 2015 (1-0) dan 15 Mac 2015 (3-0) manakala Spurs pula menang 2-1 pada 1 Januari 2014.

Pada pertemuan terakhir 10 April lalu, Spurs menjinakkan United, 3-0, ketika saingan berlangsung di White Hart Lane - kemenangan paling besar ke atas Red Devils sejak Januari 1996 (4-1).

Satu lagi fakta menarik yang sempat saya kongsikan di sini, adalah membabitkan penyerang Spurs dan England, Harry Kane. Pemain ini tidak pernah membolosi United dalam lima pertemuan terdahulu pada saingan EPL.

Sebaliknya, kapten Red Devils, Wayne Rooney pula bermaharajalela apabila menjadikan Spurs sebagai satu daripada tujuh pasukan yang berjaya dibolosinya lebih dari 10 kali.

Adakah semua ini akan berulang lagi, sukar saya meramalkannya. Namun amat menarik pasukan mana yang akan mengambil giliran `masuk gua' selepas Liverpool berbuat demikian minggu lalu. Selamat menonton.

Ramalan Minggu ke-15

Watford 1 Everton 2

Arsenal 2 Stoke City 2

Burnley 1 Bournemouth 2

Hull City 1 Crystal Palace 1

Swansea City 2 Sunderland 0

Leicester City 1 Manchester City 4

Chelsea 4 West Bromwich Albion 0

Manchester United 2 Tottenham Hotspur 1

Southampton 2 Middlesbrough 1

Liverpool 4 West Ham United 0

* Penulis - Amirullah Andi Nur adalah Penolong Editor Sukan BH

17 dibaca
Berita Harian X