Sabtu, 10 Disember 2016 | 12:12am

Tarian Mandi Sapak Pasir Raja disulami unsur mistik

 

DUNGUN: Tarian Mandi Sapak yang masih dijadikan amalan, pada setiap majlis perkahwinan penduduknya, membuatkan Kampung Pasir Raja dekat Hulu Dungun di sini, mempunyai keunikan tersendiri

Bukan sahaja masyarakat luar tidak pernah mendengar mengenai tarian itu, malah sesetengah penduduk Terengganu juga tidak tahu mengenai asal usul tarian terbabit.

Namun bagi penduduk kampung terbabit, tarian itu menjadi acara kemuncak pada sesuatu majlis perkahwinan yang diadakan.

   

Selain gerak tari yang unik, persediaannya agak rumit kerana peralatan yang digunakan dalam tarian berkenaan perlu dijampi terlebih dahulu oleh mak andam.

 

Tarian yang disertai lebih 10 penari itu, dijayakan dengan iringan paluan alat muzik tradisional seperti gong dan gendang.

   

Semua penari pula akan membawa peralatan yang sudah 'dijampi' seperti kelapa, seludang dan replika keris, kononnya untuk menghalau bala pada pasangan pengantin baharu.

   


FAUZIAH Ali. - Foto Aslina Abu Bakar

PASANGAN pengantin duduk di singgahsana yang disediakan untuk melakukan tradisi tarian mandi sapak. - Foto Aslina Abu Bakar

Penduduk Kampung Pasir Raja, Fauziah Ali, 45, mengakui pada masa lalu, Tarian Mandi Sapak dibuat bertujuan menghalau bala pada pasangan pengantin, namun kini ia lebih ke arah mengeratkan hubungan kekeluargaan.

"Tarian tradisi ini masih diamalkan, namun tidak serancak dahulu serta tidak lagi disertakan dengan jampi serapah.

"Kini tarian terbabit hanya sekadar acara memeriahkan majlis perkahwinan yang berlangsung, bukan lagi kepercayaan kepada perkara tahyul. 

"Selain diadakan pada majlis perkahwinan, kini tarian terbabit dipersembahkan setiap kali tetamu atau pelancong berkunjung ke Kampung Pasir Raja ini.

"Tarian ini menjadi tarikan unik kepada mereka kerana ia adalah satu-satunya yang berasal dari kampung ini," katanya.

Fauziah yang juga ketua kumpulan penari itu berkata, mengikut amalan terdahulu, sebelum tarian bermula, semua peralatan yang digunakan seperti benang, kayu, kelapa, keris, seludang pinang, lilin, minyak, beras, tepung tawar, air dan replika ular yang diperbuat daripada daun pinang akan dijampi oleh mak andam.

"Selepas barangan terbabit dijampi, pengantin akan diarak ke singgahsana, diikuti penari yang akan bergerak mengelilingi pengantin. 


TARIAN Mandi Sapak menjadi satu keunikan masyarakat di Kampung Pasir Raja sejak turun temurun. - Foto Aslina Abu Bakar

"Pada masa sama, mak andam akan merenjis beras dan tepung tawar kepada pasangan berkenaan," katanya.

Fauziah berkata, penari yang mengelilingi pengantin akan mengacah pengantin dengan menggunakan peralatan yang dibawa mereka.

"Seludang dan buah kelapa adalah peralatan utama yang dipegang oleh penari. 

"Penari akan menghalakan seludang ke arah pengantin dan kemudian memecahkan kelapa dengan cara melagakan kedua-dua kelapa itu sehingga pecah dan airnya membasahi pengantin.

"Selepas disiram air kelapa, mak andam akan meneruskan tradisi membilas pasangan dengan air yang diisi di dalam baldi dan kemudian melakukan upacara menilik nasib dengan cara menitik lilin ke dalam bekas berisi minyak," katanya.

Fauziah berkata, mengikut kepercayaan lalu, jika lilin yang menitik tadi membentuk seakan-akan bunga, ia memberi petunjuk bahawa pasangan pengantin itu adalah pasangan yang serasi. 

"Kemudian upacara diteruskan dengan melilit pasangan pengantin dengan tali, jika tali berkenaan tidak putus, dipercayai jodoh pasangan itu akan kekal.

"Tidak cukup dengan itu, mak andam juga akan membaling dua kayu yang diikat dengan daun pinang. Jika kayu yang dilempar itu jatuh pada jarak jauh maka perkahwinan berkenaan dikatakan akan bertahan lama," katanya.

Sepanjang upacara dijalankan oleh mak andam, penari akan terus menari dan mengelilingi pasangan berkenaan. 


MAJLIS Tarian Mandi Sapak. - Foto Aslina Abu Bakar

Sebaik sahaja mak andam selesai membaling kayu, penari akan berhenti dan mengiringi pengantin pulang untuk berhias bagi persiapan majlis persandingan pula.

Fauziah berkata, upacara yang disertakan dengan jampi hanya dilakukan ketika zaman nenek moyangnya sahaja dan kini tarian itu hanya dipersembahkan sebagai upacara tradisi serta untuk mengeratkan hubungan kekeluargaan antara kedua belah pihak pengantin.

Selain mengekalkan tradisi Tarian Mandi Sapak, penduduk kampung itu juga masih menjalankan aktiviti menumbuk emping berirama, tarian piring, bermain gasing dan permainan sepak raga bulat.

22 dibaca
ALUNAN gong dan gendang dimainkan bagi mengiringi Tarian Mandi Sapak. - Foto Aslina Abu Bakar
Berita Harian X