Jumaat, 9 Disember 2016 | 5:51pm

Pasukan khas Biro Kebajikan UMNO tiba di lokasi gempa


Penduduk kampung Ulee Glee mengadakan majlis tahlil untuk mangsa-mangsa terkorban akibat bencana gempa bumi di Pidie Jaya, Banda Aceh. - Foto Aizuddin Saad

PINDE JAYA, ACEH : Pasukan khas dari Biro Kebajikan UMNO sudah tiba di sini, sebentar tadi bagi mendapatkan perincian mengenai bekalan ubatan serta bantuan lain yang boleh disalurkan kepada mangsa gempa bumi.

Pasukan ini diketuai bendahari biro berkenaan, Azizan Md Zain serta ahli jawatankuasa biro berkenaan, Datuk Hang Tuah Din yang juga Setiausaha Agung Alumni Majlis Belia Malaysia.

Tinjauan ke lokasi gempa akan dibuat hari ini dan esok bagi mendapatkan jumlah sebenar bantuan yang diperlukan di kawasan ini terutama pusat perubatan sementara dan khemah penempatan, menempatkan ribuan mangsa terjejas.

Beberapa kawasan yang dijangka akan disalurkan bantuan dari biro itu dan rakyat Malaysia termasuk di sekitar kawasan Ulee Glee, Tring Gadeing dan Merdu, serta pusat bandar Pinde Jaya.

Pengerusi biro yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Samsul Annuar Nasarah dijadual akan menyampaikan sendiri bantuan kepada mangsa bencana.

Dalam tinjauan BH pagi tadi, mendapati bekalan ubatan dan kelengkapan perubatan termasuk implan, ubat tahan sakit, ubat bius serta antibiotik begitu diperlukan di kebanyakan pusat rawatan sementara yang dibuka di daerah ini serta dua hospital berhampiran.

Rumah Sakit Umum Daerah (RSUD) Dr Fauziah di daerah Bireuen serta RSUD Tgk Chik di Tiro, Sigli kini dijadikan hospital utama bagi menempatkan mangsa-mangsa yang kritikal, berikutan RSUD Pinde Jaya rosak teruk dan tidak beroperasi.

Ketua Pasukan Perubatan Bencana, Dr Said Abdullah, berkata beberapa pusat kesihatan sementara dibangunkan di sekitar bandar ini bagi membolehkan masyarakat setempat yang mengalami kecederaan ringan mendapatkan rawatan awal.

"Cuma ada bekalan ubat-ubatan di RSUD Bireuen dan Sigli yang kritikal dan memerlukan sumber tambahan. Kita amat berterima kasih jika ada mana-mana pihak dari Malaysia yang boleh membantu," katanya ketika dihubungi dari sini.

Berita Harian X