Jumaat, 9 Disember 2016 | 4:01pm

4 doktor Mercy Malaysia tiba di Aceh


PETUGAS Mercy Malaysia meninjau kerosakan di rumah sakit umum (RSU) Pidie Jaya akibat gempa bumi kelmarin. - Foto ihsan Mercy Malaysia

KUALA LUMPUR: Sekumpulan empat doktor, termasuk pakar tulang dan pakar bius, dari Mercy Malaysia tiba di Pidie Jaya hari ini bagi misi kemanusiaan membantu mangsa gempa bumi di Aceh.

Ketibaan kumpulan perubatan itu menjadikan keseluruhan 10 sukarelawan Mercy Malaysia digerakkan ke kawasan bencana yang setakat ini mengorbankan 102 nyawa dengan lebih 750 dilaporkan cedera.

Kumpulan pertama tiba semalam dan badan kemanusiaan itu turut merancang mengedarkan bekalan makanan dan kit keperluan harian kepada 250 mangsa di Kecamatan Meureudu di Pidie Jaya, esok.

Pengarah Program dan Pembangunan Strategik Mercy Malaysia, Norazam Ab Samah merangkap ketua misi di Aceh, berkata kumpulan perubatan itu akan ditempatkan di Rumah Sakit Umum Pidie Jaya.

"Penilaian awal Mercy Malaysia mendapati kebanyakan mangsa gempa yang hilang tempat tinggal perlu bantuan keperluan asas seperti air, makanan dan keperluan harian seperti selimut dan sebagainya.

"Kita akan berada di sini sekurang-kurangnya dalam tempoh dua minggu," katanya ketika menghubungi BH semalam.

Presiden Indonesia, Joko Widodo semalam dilaporkan berkata, pihak berkuasa tempatan di Aceh memerlukan bantuan ubatan dan doktor pakar bagi merawat ratusan mangsa gempa bumi yang cedera.

Lebih daripada 310 gegaran susulan direkodkan selepas gempa bumi pada magnitud 6.5 skala Ricther menggegar Pidie Jaya, Aceh kelmarin mengorbankan lebih 100 nyawa dengan kerosakan harta benda.

"Gegaran susulan masih dirasai di Aceh. Mangsa sekarang berlindung di pusat perlindungan sementara dengan kerja-kerja pembersihan dilakukan pihak berkuasa," kata Norazam.

Lebih 8,000 mangsa gempa kini berlindung di pusat perlindungan di sekitar Pidie Jaya.

Berita Harian X