Jumaat, 9 Disember 2016 | 3:17pm
KETUA Eksekutif MTCC, Datuk Norhalim Yunus bertukar dokumen dengan Ketua Pegawai Eksekutif THGS, Adly Mohamed pada majlis pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) di Kuala Lumpur, hari ini.

MTDC, THGS meterai MoU tembusi pasaran Asia

KUALA LUMPUR: Malaysia Technology Development Corporation (MTDC) dan TH Global & Services (THGS) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dalam usaha menembusi pasaran global khususnya Asia Barat dalam sektor makanan dan kimia.

MTDC diwakili Ketua Eksekutifnya, Datuk Norhalim Yunus manakala THGS diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Adly Mohamed.

Menerusi perjanjian itu, THGS akan menjadi pengedar bagi produk halal terpilih, peralatan perubatan, produk minyak dan gas serta produk lain yang sesuai dengan pasaran Asia Barat daripada syarikat dalam ekosistem MTDC.

Mengulas mengenai MoU itu, Norhalim berkata, pihaknya sudah mengenal pasti lima atau enam syarikat tempatan yang berpotensi untuk menyertai platform itu bagi memanfaatkan rangkaian TH Global yang sudah wujud sejak 50 tahun lalu.

"Setakat ini, kita sudah pun kenal pasti produk makanan dan kimia untuk dibawa ke pasaran berkenaan dan MoU ini pastinya menjadi platform terbaik kepada syarikat di dalam ekosistem kami untuk menembusi pasaran global khusus Asia barat.

"Perjanjian ini juga membuktikan komitmen MTDC yang tidak hanya terhad kepada pengurusan dana malah turut memberi perkhidmatan nilai tambah dalam memastikan pembangunan perniagaan syarikat di bawah payung MTDC," katanya pada sidang media sempena MoU berkenaan di sini, hari ini.

Sementara itu, Adly berkata, syarikat berkenaan yang menjalankan perniagaan perkhidmatan katering di Arab Saudi mendapati sukar mendapatkan produk buatan Malaysia di sana.

"Dengan rangkaian yang kami ada, kami berharap dapat mengkomersilkan produk dan teknologi buatan Malaysia di Arab Saudi," katanya.

Katanya, MoU berkenaan sebagai langkah pertama ke arah lebih banyak peluang perniagaan yang akan memberi manfaat kepada kedua-dua negara terutama Malaysia dan Arab Saudi.

"Apabila sudah kukuh... selain negara Teluk lain, kita akan lihat pasaran Eropah pula kerana populasi masyarakat Islam di sana juga ramai," katanya.

THGS dijangka mengadakan mesyuarat dengan tiga syarikat berpangkalan di Jeddah iaitu Panda Hypermarket, Halawani Group dan Jeddah Chamber of Commerce pada awal tahun depan sebagai usaha memperkenalkan produk tempatan di sana.

Berita Harian X