Jumaat, 9 Disember 2016 | 8:46am

Azan subuh terus berkumandang biarpun masjid runtuh

PIDIE JAYA: Biarpun tanpa cahaya lampu dan bergelap sejak tiga hari lalu, umat Islam dan masyarakat setempat di sini tetap menunaikan kewajipannya menunaikan solat subuh secara berjemaah.

Tinjauan jurufoto The News Straits Times Press (M) Berhad awal pagi tadi berkesempatan merakamkan aktiviti awal pagi masyarakat di sini yang kebanyakannya adalah nelayan dan pesawah.

SEBAHAGIAN pasukan sukarelawan World Women Care (WWC) menunaikan solat subuh di dewan di luar Masjid Jami Quba yang musnah akibat bencana gempa bumi di Pidie Jaya, Aceh, hari ini. - Foto Aizuddin Saad

Azan subuh masih terus berkumandang di sini tanpa pembesar suara dengan sebahagian bangunan masjid runtuh akibat gempa bumi kuat 6.5 magnitud yang melanda Aceh, awal pagi kelmarin.

Masjid Jami Quba, salah satu masjid yang musnah akibat bencana itu turut dijadikan penempatan sementara dan didiami penduduk kampung yang mendapat perlindungan serta menginap di luar pekarangan bangunannya.

Pihak berkuasa semalam melaporkan kira-kira 49 masjid roboh di daerah ini yang paling teruk kemusnahannya pada gempa kali ini.

PENEMPATAN sementara yang didiami orang kampung di luar Masjid Jami Quba yang musnah akibat bencana gempa bumi di Pidie Jaya, Aceh. - Foto Aizuddin Saad
SEORANG sukarelawan World Women Care (WWC), Mahyuddin Hassan Basri, 38, melintasi Masjid Jami Quba yang musnah akibat bencana gempa bumi di Pidie Jaya, Aceh. - Foto Aizuddin Saad
Berita Harian X