Jumaat, 9 Disember 2016 | 1:03am

Jokowi tinjau runtuhan gempa pagi ini


KAWASAN dilanda gempa di Aceh. - Foto AFP

PIDIE JAYA: Presiden Indonesia, Joko Widodo atau Jokowi dijadual akan turun meninjau kemusnahan yang berlaku di beberapa kawasan terjejas di sini, pagi ini, susulan gempa bumi kuat melanda bandar berkenaan, kelmarin.

Rakan media Indonesia yang dihubungi dari Banda Aceh memberitahu, Jokowi tiba di Banda Aceh kira-kira jam 5.35 petang tadi, (6.35 petang waktu Malaysia) dalam usahanya mahu turun padang melihat sendiri kejadian gempa bumi di Pidie Jaya.

Beliau yang tiba dari Denpasar, Bali, bagi menghadiri Kejuaraan Pencak Silat Dunia ke-17, selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Iskandar Muda, Banda Aceh.

Beliau ditemani Menteri Kesihatan, Nila Moeloek; Menteri Perumahan Rakyat Basuki Hadimuljono serta Panglima Angkatan Tentera Indonesia, Jeneral Gatot Nurmantyo dan Ketua Polis Indonesia, Jeneral Tito Karnavian.

"Jokowi dijadualkan akan menginap di Banda Aceh malam ini sebelum memulakan lawatan ke lokasi gempa bumi di Pidie Jaya, pagi ini," katanya.

Jokowi dilaporkan ingin melihat sendiri secara dekat proses penyaluran bantuan, evakuasi kerja menyelamat mangsa gempa bumi, lawatan ke atas mangsa yang cedera dan keluarga yang terkorban serta mendengar taklimat membaik pulih infrastruktur.

Sementara itu, media tempatan yang memetik Ketua Staf Pejabat Presiden, Teten Masduki, melaporkan setakat tengah malam tadi, seramai 102 mangsa gempa bumi meninggal dunia, satu masih hilang, 136 cedera parah, 616 cedera ringan, sementara 10,029 dipindahkan.

Beliau berkata, di Pidie Jaya saja terdapat 105 unit rumah kedai roboh, 12,560 unit rumah rosak dan 49 unit masjid roboh.

Berita Harian X