Khamis, 8 Disember 2016 | 11:10pm

Kembalikan kegemilangan bahasa Melayu

PULAU PANGKOR: Kecenderungan orang Melayu bercakap bahasa Melayu yang bercampur aduk dengan bahasa Inggeris bukan hanya wujud di kalangan masyarakat awam atau pegawai kerajaan tetapi juga di kalangan menteri.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, tidak pasti apakah ia satu malapetaka budaya namun tindakan itu tidak akan membawa masyarakat ke mana-mana.

"Mungkin tindakan sebegitu dilihat sebagai simbol status tetapi kecenderungan itu menjadikan kita sekerat ular sekerat belut.

"Bahasa Melayu adalah bahasa kelima terbesar di dunia dan kita tidak seharusnya malu untuk menuturkannya," katanya ketika merasmikan Hadiah Karya Darul Ridzuan (HDKR) kali kelima Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan Pangkor dekat sini sebentar tadi.

Yang turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian, Komunikasi dan Multimedia Negeri Perak, Datuk Nolee Ashilin Datuk Mohamad Radzi dan Pengerusi Yayasan Karyawan Datuk Zainal Abidin Borhan.

Zambry berkata, bahasa Melayu yang pernah menjadi lingua franca kini memerlukan usaha yang bersungguh-sungguh untuk mengembalikan kedudukan itu.

Sementara itu, HDKR kali kelima yang diadakan bersempena dengan Festival Puisi dan Lagu Rakyat Antarabangsa Pangkor (PULARA) kali ketujuh merupakan pengiktirafan kepada pengarang kelahiran Perak yang menyaksikan 15 kategori dipertandingkan.

Dalam majlis itu wartawan BH, Hafizah Iszahanid mengungguli kategori kumpulan cerpen.

Yang turut hadir juga Pengerusi PULARA, Mohd Ghazali Abdul Rashid (Malim Ghozali Pk).

Berita Harian X