Khamis, 8 Disember 2016 | 11:00pm

KWSP catat kenaikan penggunaan pelbagai platform

KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) melaporkan peningkatan dalam penggunaan platform fizikal dan perkhidmatan pelanggan digital sebagai mod pilihan transaksi dengan kumpulan itu pada suku ketiga berakhir 30 September 2016.

Pada suku di bawah kajian, penggunaan i-Akaun naik 46.77 peratus daripada 3.09 juta pada suku ketiga 2015 kepada 4.54 juta berakhir September 2016.

Trafik pelawat ke portal myEPF portal meningkat 38.88 peratus daripada 4.03 juta dalam suku ketiga 2015 kepada 5.60 juta dalam suku ketiga 2016.

Sementara itu, penggunaan Kiosk KWSP menokok 31.09 peratus daripada 2.51 juta pada suku ketiga 2015 kepada 3.29 juta pada suku ketiga 2016.

Ketika mengumumkan prestasi operasi suku ketiga 2016, Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Datuk Shahril Ridza Ridzuan berkata: "Kita telah menjadikan kecemerlangan pengalaman pelanggan sebagai satu daripada komponen teras inisiatif utama kita dan keputusan operasi suku ketiga 2016 dengan jelas yang harapan ahli bagi setiap aspek perkhidmatan kita, termasuk kepantasan dan kemudahan, telah meningkat."

Sebagai dana dengan ahli dan asas majikan berdaftar yang semakin meningkat, adalah penting untuk KWSP meningkatkan perkhidmatannya dengan menawarkan pengalaman lancar dalam traksaksi melalui platform digital, memudahkan operasi dan memendekkan lagi tempoh transaksi.

"Satu daripada pencapaian utama kita menjelang 2020 ialah memastikan 80 peratus transaksi kita dengan ahli dilakukan secara elektronik dan 60 peratus dengan majikan," kata Sharil Ridza.

Selain platform digital, pelawat ke kaunter perkhidmatan KWSP di seluruh negara juga meningkat 11.91 peratus kepada 1.26 juta pada suku ketiga 2016 berbanding 1.13 juta dalam tempoh sama pada 2015.

EPF mengaitkan peningkatan itu kepada pertambahan tinggi kepada pelawat kaunter yang beralih kepada Simpanan Shariah, yang menerima sambutan baik orang ramai sejak pendaftaran bermula pada 8 Ogos 2016.

Panggilan telefon diterima Pusat Pengurusan Perhubungan KWSP juga naik 26.53 peratus kepada 293,444 pangilan pada suku ketiga 2016.

Pusat tersebut, pertama kali diperkenal pada September 2003, menawarkan perkhidmatan perundingan pelbagai bahasa bagi menangani pertanyaan ahli berkaitan hal KWSP.

Shahril berkata, perkhidmatan itu kekal relevan hari ini kerana ia menjimatkan masa dan kunjungan ahli serta majikan ke cawangan KWSP agar pertanyaan mereka ditangani.

Menurutnya, soalan yang paling kerap ditanya adalah berkaitan pengeluaran simpanan KWSP, dividen dan langkah bagi menyerahkan sumbangan majikan atau permohonan pengeluaran ahli secara elektronik.

Permohonan diluluskan untuk 'Pengeluaran Fleksibel Umur 55' pada suku ketiga 2016 meningkat 7.27 peratus kepada 86,684 berbanding 80,812 permohonan diluluskan dalam tempoh sama pada 2015.

Jumlah dikeluarkan di bawah skim berkenaan RM2.53 bilion berbanding RM3.28 bilion pada 2015 (suku kedua 2016: 91,111, RM2.70 bilion).

Ini bertentangan dengan jumlah permohonan diluluskan untuk "Pengeluaran Penuh Umur 55' pada suku ketiga 2016 yang turun 6.83 peratus kepada 46,999 melibatkan RM2.29 bilion pada suku ketiga 2016.

Shahril mengaitkan penurunan jumlah pemohon beralih untuk pengeluaran penuh kepada peningkatan kesedaran di kalangan ahli yang mengiktiraf manfaat melanjutkan lagi simpanan persaraan mereka di samping mendapat dividen tahunan.

Keseluruhan jumlah permohonan diluluskan untuk 'Pengeluaran Pendidikan' pada suku ketiga 2016 melonjak 117.16 peratus kepada 60,318 melibatkan RM359.70 juta berbanding 27,776 permohonan diluluskan (RM155.95 juta) pada suku ketiga 2015 dengan sebahagian besar pengeluaran untuk menyelesaikan pinjaman pendidikan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional.

Kemasukan 'Pengeluaran Pendidikan' di bawah kemudahan e-Pengeluaran juga menjadikannya lebih mudah untuk ahli untuk menyerahkan permohonan mereka dalam talian.

Jumlah permohonan diluluskan untuk suku ketiga 2016 berada pada 23,884, naik 27.7 peratus berbanding 18,707 pada suku kedua 2016.

Sementara itu, jumlah permohonan diluluskan untuk pengeluaran pelaburan melalui Skim Pelaburan Ahli meningkat 15.40 peratus kepada 179,351 melibatkan sebanyak RM1.57 bilion pada suku ketiga 2016.

Jumlah ahli KWSP pada suku ketiga 2016 menokok 1.86 peratus kepada 14.72 juta berbanding 14.45 juta didaftar pada suku ketiga 2015.

Daripada jumlah itu, 6,833,292 atau 46.42 peratus adalah ahli aktif. Jumlah majikan baru didaftar pada suku ketiga 2016 mencatat penurunan 4.18 peratus kepada 14,131 daripada 14,748 majikan pada suku ketiga 2015.

Sehingga akhir September 2016, kadar majikan yang gagal mencarum berada pada 1.10 peratus. Shahril mengaitkan jumlah kecil itu kepada kecekapan tindakan KWSP serta peningkatan kesedaran di kalangan majikan terhadap kesejahteraan persaraan kakitangan mereka.

Beliau mengingatkan majikan yang Borang A pra-cetak tidak lagi akan dihantar kepada majikan mulai Januari 2017 kerana semua penyerahan butiran dan pembayaran caruman kakitangan akan dilakukan dalam talian melalui perbankan Internet dan kemudahan e-Caruman.

Ahli dinasihat menghubungi Pusat Pengurusan Perhubungan KWSP melalui 03-89226000, layari laman web KWSP di www.kwsp.gov.my atau kunjungi mana-mana kaunter KWSP di seluruh negara untuk sebarang maklumat mengenai produk dan perkhidmatan KWSP serta mengenai Pengeluaran Umur 60 atau Akaun Emas yang baru diperkenal baru-baru ini.

Ahli juga diingatkan supaya tidak dikelirukan oleh pembual dalam talian berkaitan KWSP dan untuk mengesahkan maklumat itu dengan KWSP.- BERNAMA

Berita Harian X