Khamis, 8 Disember 2016 | 9:32pm

Sultan Kelantan solat bersama 1,000 jemaah


SULTAN Kelantan, Sultan Muhammad V bersama Tengku Mahkota Kelantan, Dr Tengku Muhammad Fa-iz Petra dan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob (kanan) di Majlis solat hajat, bacaan yasin dan doa sempena pemasyhuran Sultan Muhammad V sebagai Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong XV di Masjid Muhammadi di sini. - Foto Ihsan Istana Kelantan

KOTA BHARU: Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V berkenan mencemar duli untuk solat bersama lebih 1,000 jemaah di Masjid Muhammadi, di sini, hari ini.

Baginda tiba pada jam 7 malam bagi menghadiri solat Maghrib, solat hajat, bacaan yasin dan doa sempena pemasyhuran Sultan Muhammad V sebagai Yang di-Pertuan Agong ke 15.

Yang turut hadir, Tengku Mahkota Kelantan, Dr Tengku Muhammad Fa-iz Petra dan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob.

Baginda kemudian menunaikan solat hajat yang diimamkan oleh Mufti Kelantan Datuk Mohamad Shukri Mohamad dan bersama-sama membaca surah Yasin yang diketuai oleh Ketua Hakim Syarie Kelantan, Datuk Daud Muhammad.

Baginda juga menunaikan solat Isyak berjemaah sebelum berangkat meninggalkan majlis.

Sultan Muhammad V dijadual berangkat ke ibu negara pada 13 Disember ini bagi menghadiri Istiadat Melafaz Sumpah dan Menandatangani Surat Sumpah Jawatan serta pengisytiharan memegang jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke 15.

168 dibaca
Berita Harian X