Khamis, 8 Disember 2016 | 7:13pm

319 gegaran susulan dirasai di Aceh

BANDA ACEH: Gempa bumi di Pidie Jaya, wilayah Aceh, semalam direkodkan mempunyai 319 gegaran susulan, berdasarkan rekod Stesen Geofizik Mata di daerah Aceh Besar.

"Setakat jam 7.00 pagi (waktu tempatan) hari ini, jumlah itu direkodkan alat pengesan kami. Gegaran susulan turut dirasai penduduk di sekitar Pidie Jaya sebanyak enam kali," kata ketua agensi itu, Ie Eridawati kepada laman berita Tempo, hari ini.

Menurut Eridawati, gegaran susulan itu berlaku kerana proses normalisasi pergerakan permukaan bumi yang biasa berlaku selepas satu gempa bumi besar.

Pada hari biasa, alat pengesan gempa bumi itu mengesan lima hingga enam aktiviti gempa berskala kecil di Aceh.

Susulan gempa bumi 6.5 magnitud di Pidie Jaya kelmarin, penduduk merasai enam gegaran susulan besar dan gegaran susulan terakhir dirasakan, jam 11.05 malam waktu tempatan semalam dengan kekuatan magnitud 5.0.

Pusat gempa itu terletak 32 kilometer di timur laut daerah Aceh Besar.

Menurut Agensi Pengurusan Bencana Nasional, gempa bumi Pidie Jaya meragut 102 nyawa, setakat hari ini.

Sementara itu, kira-kira 736 orang cedera serius dan ringan, setakat lewat pagi ini. Gempa turut memusnahkan ratusan kediaman. -Agensi

Berita Harian X