Khamis, 8 Disember 2016 | 6:47pm

Pemuda hilang di sungai, ditemui mati


ANGGOTA Bomba dan Penyelamat membawa mangsa dipercayai hilang , Romy anak Lego, yang dijumpai tergantung di atas pokok lebih kurang 6 meter dari aras tanah dan di syaki telah meninggal dunia di kawasan hutan kira-kira 2 KM dari Kg Stungkor Lama, Lundu. - Foto Ihsan Jabatan Bomba Dan Penyelamat

LUNDU: Pemuda yang dilaporkan hilang ketika memeriksa bubu yang dipasangnya di Sungai Stum, di sini, Selasa lalu, ditemui mati tersangkut di dahan pokok, pagi tadi.

Mayat Romy Lego, 25, ditemui pada jam 11.30 pagi tadi oleh anggota pasukan mencari dan menyelamat (SAR) dan anggota bomba terpaksa membina tangga kayu untuk memudahkan mereka menurunkannya yang berada pada ketinggian kira-kira enam meter.

Ketua Bomba dan Penyelamat Zon Kuching, Tiong Ling Hii berkata, pemeriksaan awal pihaknya mendapati seutas tali menjerut bahagian leher mangsa, namun tali itu sudah putus dan mayat mangsa tersangkut pada cabang pokok.

"Mayat ditemui di lokasi kira-kira dua kilometer dari rumahnya di kampung Stungkor Lama. Selepas diturunkan dan dibawa keluar dari kawasan hutan pada jam 2 petang, mayat dihantar ke Hospital Lundu untuk dibedah siasat.

"Anggota kami menghadapi kesukaran untuk menurunkan mayat mangsa dan terpaksa membina tangga daripada kayu bagi menurunkannya," katanya.

Mangsa dilaporkan hilang selepas memeriksa bubu yang dipasangnya di Sungai Stum berdekatan dengan rumahnya pada jam 5 petang, Selasa lalu.

Bagaimanapun, bapanya Lego Nyigon, 48, hanya membuat laporan di Balai Polis Lundu, kelmarin, selepas usaha mencari anaknya dengan bantuan penduduk kampung, gagal.

Berita Harian X