Khamis, 8 Disember 2016 | 6:36pm

MAIK terima wang ihsan RM20.3j


PENGURUS Cawangan PNMB, Rosilawati Kahar menyampaikan replika cek zakat kepada Timbalan Yang Dipertua MAIK, Dr Nik Mohd Azlan Abd Hadi di Kota Bharu, hari ini. - Foto Zaman Huri Isa

KOTA BHARU: Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Kelantan (MAIK) menerima wang ihsan daripada Kerajaan Pusat berjumlah RM20.3 juta tahun ini untuk diagihkan kepada golongan lapan asnaf di Kelantan.

Timbalan Yang Dipertuanya, Dr Nik Mohd Azlan Abd Hadi, berkata sebelum ini MAIK yang diwakili Tengku Mahkota Kelantan, Dr Tengku Muhammad Fa-iz Petra, mengadakan perbincangan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berhubung dengan wang ihsan terbabit.

"Sebanyak RM10 juta sudah diterima, manakala bakinya RM10.3 juta lagi akan diterima tidak lama lagi," katanya kepada media selepas menerima zakat perniagaan daripada Percetakan Nasional Malaysia Berhad (PNMB) di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengurus Cawangan PNMB, Rosilawati Kahar yang menyerahkan replika cek zakat perniagaan itu bernilai RM9,118.50 kepada MAIK.

"Wang ihsan diterima MAIK itu sebahagian besarnya diperuntukkan bagi membantu lapan asnaf yang ingin melanjutkan pelajaran ke universiti manakala selebihnya untuk sektor pembangunan.

"Pembangunan ini termasuk pembinaan jalan raya, membaik pulih sistem perparitan, jambatan dan pembinaan rumah untuk mangsa bencana alam," kata Nik Mohd Azlan.

Sementara itu, beliau berkata, MAIK mendapat titah Tengku Mahkota Kelantan yang juga Yang Dipertua MAIK supaya membantu Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dengan menyediakan bantuan makanan untuk mangsa banjir sebagai persiapan menghadapi bencana alam ketika ini.

Berita Harian X