Khamis, 8 Disember 2016 | 6:35pm

Kanak-kanak hilang dari rumah pengasuh ditemui selamat

KUANTAN: Seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun ditemui dalam keadaan selamat selepas dilaporkan hilang dari rumah pengasuhnya di Taman Perumahan Bukit Rangin di sini, semalam.

Kanak-kanak berkenaan ditemui kira-kira jam 11 pagi oleh seorang guru di Lorong 30 taman perumahan berkenaan yang terletak beberapa blok daripada kediaman pengasuhnya.

Kanak-kanak itu kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan sebelum diserahkan semula kepada ibu bapanya kira-kira jam 1 petang.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuantan, Superintendan Abdul Aziz Ahmad, berkata siasatan mendapati kanak-kanak berkenaan keluar daripada rumah pengasuhnya yang ketika itu pergi membeli makanan di luar.

"Pengasuhnya meminta pertolongan anak perempuannya yang berusia 19 tahun untuk menjaga kanak-kanak berkenaan, tiada unsur dera dan jenayah dikesan pada fizikal kanak-kanak itu...kita anggap kes ini selesai selepas dia berjaya ditemui semula," katanya di sini, hari ini.

Berita Harian X