Khamis, 8 Disember 2016 | 6:34pm

Status suami tak jejas peluang Hafidz Roshdi


MAJLIS Resepsi Pelakon, Hafidz Roshdi dan Suhada Mat Shukri di Astana Wedding Space, Seksyen 14. - Foto Nurul Syazana Rose Razman

KUALA LUMPUR: Biarpun berbaur klise, ramai menganggap populariti artis merudum sebaik berumah tangga.

Namun, bagi bakat baharu, Hafidz Roshdi, 22, rezekinya melimpah selepas bergelar suami kepada pasangannya, Nurul Suhada.

Biarpun berkahwin pada usia muda, Hafidz tidak pernah melihat status diri sebagai jaminan dalam mencari tawaran berlakon atau populariti.

"Alhamdulillah, rezeki selepas kahwin tak putus. Walaupun tak banyak, rezeki itu ada. Tawaran berlakon filempun saya terima, cuma masa belum mengizinkan," katanya kepada BH Online.

Hafidz berkata, selepas bernikah, dia muncul dalam drama rantaian Mr Donat Karamel yang sedang ditayangkan TV3 serta beberapa telefilem.

"Selepas berkahwin, saya mengelak penggambaran yang mengambil masa panjang. Saya berbulan madu dan menguruskan beberapa urusan termasuk berpindah ke rumah baharu... Banyak barang rumah kena beli," katanya.

Hafidz akui sedang membiasakan diri dengan status suami orang.

Dalam perkembangan terbaharu, Hafidz memberitahu, dia akan memulakan penggambaran drama Raisha arahan Nizam Zakaria untuk TV3.

Hafidz berkata, buat pertama kali, dia akan digandingkan dengan Diana Danielle.

"Agak gementar dengan gandingan kali ini. Di rumah, saya luangkan masa menonton lakonan. Itu persediaan saya sebelum ke set penggambaran nanti," katanya.

Ditanya sama ada isterinya sudah berbadan dua, Hafidz hanya tersenyum.

"On the way agaknya... Insya-Allah, saya dan isteri memang mahukan cahaya mata melengkapi rumah tangga kami," katanya.

115 dibaca
Berita Harian X