Khamis, 8 Disember 2016 | 4:57pm

Gempa bumi: Trauma masih belenggu penduduk di Pinde Jaya


PASUKAN penyelamat mencari dan membantu mangsa gempa bumi di Pidie Jaya, Aceh, Indonesia. - Foto EPA

PINDE JAYA, ACEH : Trauma masih membelenggu ratusan penduduk di daerah ini ekoran kejadian gempa bumi kuat yang melanda kawasan mereka awal pagi semalam.

Sebaik wartawan BH memasuki kawasan gempa kira-kira jam 3 petang tadi waktu tempatan, penduduk berlindung di beberapa kawasan termasuk masjid dan kawasan berbukit berikutan sebahagian kediaman mereka ada yang musnah dan tidak selamat diduduki.

Laluan utama di Jalan Banda Aceh-Medan, di sini juga dipenuhi kenderaan pasukan penyelamat dan polis yang mengawal pergerakan lalu lintas sejak semalam.

BH sempat membuat tinjauan di sebuah rumah kedai yang musnah di Kampung Tengah Musa, di sini, sehingga menyebabkan dua penghuni, iaitu pasangan suami isteri maut ketika gempa berlaku kira-kira jam 5 pagi semalam, selain kubah masjid yang rosak di kawasan berhampiran.

Petang ini tinjauan akan diteruskan ke kawasan lebih teruk iaitu di sekitar Kampung Triang Gading, di sini yang dilaporkan masih ada mayat berada di bawah runtuhan.

Berita Harian X