Khamis, 8 Disember 2016 | 1:12pm

Kanak-kanak lemas tergelincir sungai ditemui


MAYAT Megat Najmi ditemui kira-kira 200 meter dari tempat dia dipercayai tergelincir oleh Pasukan Mencari dan Menyelamat, kira-kira jam 8.21 pagi ini. - Foto Twitter BERNAMA

MARANG: Mayat seorang kanak-kanak yang dikhuatiri lemas selepas tergelincir ketika melihat tiga rakannya mandi di Sungai Buaya, Bukit Payong, di sini, petang semalam, ditemui pagi ini.

Mayat Megat Najmi Asyraf Megat Mohd Nezan, 12, pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Gelugor, di sini, ditemui kira-kira 200 meter dari tempat dia dipercayai tergelincir oleh Pasukan Mencari dan Menyelamat, kira-kira jam 8.21 pagi ini.

Ketua Balai Bomba Marang, Penolong Pesuruhjaya Bomba, Suriati Ariffin berkata, mayat kanak-kanak itu diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.45 petang semalam, Megat Najmi Asyraf bersama tiga lagi rakannya ke sungai berkenaan untuk melihat limpahan air sungai.

Sebaik tiba di tempat kejadian, tiga rakan mangsa dikatakan terjun ke dalam sungai untuk mandi manda manakala Megat Najmi Asyraf hanya berdiri di tebing sungai.

Bapa mangsa, Megat Mohd Nezan Megat Ahmad, 36, berkata beliau dimaklumkan penduduk kampung, anaknya terjerlus ketika berdiri di tebing sebelum dihanyutkan arus deras.

Walaupun sedih dengan kejadian itu, beliau reda serta berterima kasih kepada pasukan mencari dan menyelamat, termasuk penduduk kampung kerana membantu mencari anaknya sejak petang semalam.

73 dibaca
Berita Harian X