Khamis, 8 Disember 2016 | 1:10pm

Aktiviti sekolah digantung susulan gempa Aceh


STRUKTUR dinding bangunan hospital daerah di Pidie Jaya roboh susulan gempa bumi 6.5 magnitud di Aceh, semalam. - Foto AFP

LHOKSEUMAWE: Aktiviti sekolah di Pidie Jaya dan Daerah Pidie digantung seketika berikutan gempa bumi kuat yang menggegarkan wilayah itu, awal pagi semalam.

Ketua Perkhidmatan Pendidikan Daerah Pidie, Murthala, berkata kebanyakan sekolah di timur Daerah Pidie tidak dapat meneruskan persekolahan berikutan kejadian itu.

"Sekolah tidak dapat meneruskan aktiviti, bukan kerana ia rosak disebabkan gempa bumi tetapi kerana pelajar tidak hadir," katanya.

Murthala berkata, beliau memahami ketidakhadiran pelajar disebabkan gempa bumi berkenaan menyebabkan kerosakan serius.

Murthala mengesahkan beliau menerima laporan menyatakan cuma satu sekolah rendah, rendah SD Peukan Baro yang rosak dalam gempa itu.

"Kami terus memantau perkembangan gempa bumi, dan jika kami mempunyai maklumat baru, kami akan mengumumkannya segera," katanya.

Dalam gempa bumi berukuran 6.5 magnitud itu, hampir 100 terkorban manakala 8,000 penduduk lagi kehilangan tempat tinggal.

Kerajaan Indonesia mengisytiharkan tempoh darurat dua minggu di Aceh dan beberapa bentuk bantuan sudah tiba di kawasan paling teruk terjejas. - Agensi

Berita Harian X