Selasa, 9 Disember 2014 | 9:11am

Mengembalikan semula era gemilang MAS

Walaupun pernah menafi akan melantik warga asing untuk menerajui Penerbangan Malaysia (MAS), Khazanah Nasional Bhd kelmarin mengumumkan pelantikan bekas Ketua Pegawai Eksekutif penerbangan Ireland, Aer Lingus, Christoph Mueller, sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharu MAS NewCo, dalam penstrukturan semula syarikat penerbangan kebangsaan itu.

Dalam konteks MAS, pengumuman itu bukanlah sesuatu yang mengejutkan, apa lagi untuk dijadikan isu oleh pihak tertentu atas semangat kebangsaan sempit. Ia adalah sebahagian daripada pelan pemulihan 12 perkara yang diumumkan Khazanah sebelum ini.

Antara 12 pelan pemulihan MAS ialah pengenyahnaraian MAS yang hampir selesai, pemindahan aset dan liabiliti kepada NewCo, pelantikan CEO baharu, mengurangkan jumlah pekerja sebanyak 30 peratus daripada 20,000 pekerjanya sekarang.

Sudah jatuh ditimpa tangga

Apa yang dilalui MAS sejak 15 tahun lalu lebih daripada makna pepatah 'sudah jatuh ditimpa tangga'. Selepas sekian lama mencatat kerugian, menjalani beberapa langkah pemulihan sehinggalah ditimpa dua tragedi nahas pesawatnya dalam tempoh lima bulan, tahun ini, tiada apa lagi yang lebih mengejutkan.

Memang pelantikan Mueller adalah kali pertama sebuah syarikat milik kerajaan diterajui oleh orang asing. Begitupun, ia juga kali pertama usaha pemulihan MAS benar-benar diketuai oleh seorang yang berpengalaman dalam industri penerbangan.

Yang menarik untuk ditunggu dan lihat ialah bagaimana dan mampukah Mueller, menggunakan pengalaman luasnya dalam bidang penerbangan meletakkan semula MAS sebagai syarikat penerbangan kebanggaan negara dan disegani dunia.

Walaupun kontrak Mueller dengan Aer Lingus sepatutnya tamat pertengahan tahun depan, beliau melepaskan jawatannya lebih awal selepas berjaya memulihkan syarikat penerbangan itu dalam tempoh lima tahun.

Ditubuhkan pada 1936, Aer Lingus mengalami pengalaman hampir serupa dengan MAS dari segi legasi, kejayaan, kerugian dan cabaran daripada dasar 'langit terbuka' serta kehadiran penerbangan tambang murah.

Jika kehadiran AirAsia di rantau ini dilihat merampas sebahagian penumpang MAS, Aer Lingus juga menghadapi saingan sengit oleh syarikat penerbangan tambang murah senegaranya, Ryan Air. Malah, Ryan Air pernah cuba untuk mengambil alih Aer Lingus tetapi tidak dibenarkan oleh pihak berkuasa negara itu.

Sebelum menyertai Aer Lingus sebagai CEO pada September 2009, Mueller, lepasan Sarjana Pentadbiran Perniagaan dari University of Cologne and Program Lanjutan Pengurusan di Harvard Business School, menjadi Pengarah Eksekutif Penerbangan di TUI Travel plc, yang disenarai dalam 100 syarikat Bursa Saham Financial Times.

Pengalamannya dalam industri penerbangan termasuk menjadi Ketua Pegawai Kewangan DHL Worldwide (2002 - 2004) dan ahli Jawatankuasa Eksekutif Deutsche Post AG selepas syarikat itu mengambil alih DHL pada 2004. Beliau juga pernah memegang jawatan kanan di Daimler Benz Aerospace, menjadi Naib Presiden Eksekutif Lufthansa AG and CEO Sabena Group.

Pulih syarikat penerbangan negara

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, dalam kenyataan Khazanah mengenai pelantikan Mueller, berkata pelantikan itu adalah komitmen kerajaan untuk memulihkan semula syarikat penerbangan negara.

"Penting untuk kita memiliki bakat terbaik yang mempunyai kepakaran dan pengalaman bagi membantu usaha penyusunan semula ke hadapan, membawa keuntungan kepada syarikat penerbangan dan melatih pengganti rakyat Malaysia untuk mengambil alih kepemimpinan syarikat penerbangan itu pada masa datang. Kerajaan komited untuk melihat usaha memulihkan MAS berjaya," katanya.

Dengan menerima tawaran untuk menerajui MAS, Mueller, pastinya mempunyai keyakinan mampu memulihkan syarikat penerbangan ini. Dalam kata lain, Mueller mempertaruhkan rekod cemerlangnya dalam industri penerbangan itu.

Bagaimanapun, masalah menyelubungi MAS mungkin berbeza dengan Aer Lingus atau syarikat penerbangan lain terutama dari segi budaya kerja dan kaitan politik. Justeru, Mueller memerlukan kebijaksanaan melangkaui ilmu buku teks perniagaan dari Harvard atau pengalaman dari firma yang hanya menjadikan keuntungan sebagai satu-satunya matlamat mereka.

Berita Harian X