Khamis, 8 Disember 2016 | 12:07am

Liza Kool FM dah boleh pakai baju saiz S

KUALA LUMPUR: Momentum kerjaya seni wanita ini bagai bergerak dengan cukup teratur.

Sejak muncul juara Projek Metro, kira-kira dua tahun lalu, langkah Liza Khairudin di bidang berkenaan disusun kemas satu demi satu.

Lebih dari itu, beliau dilihat antara selebriti yang bijak menempuh arus dunia glamor dan tidak larut dengan percikan kegemilangan yang rapat mengekori.

Mendekatinya dalam satu sesi fotografi yang diadakan baru-baru ini, bunga daripada stesen radio Kool FM ini mengakui beliau tidak punya masa untuk terlalu asyik menikmati populariti ketika usianya terus meningkat.

Bagi empunya diri, setiap peluang yang hadir perlu dimanfaatkan sebaik mungkin dan tiada istilah untuk dirinya bereksperimen atau duduk menanti peluang tawaran datang menyapa.

"Saya sudah berusia 30 tahun, bukan usia selesa untuk berseronok dengan dunia popular. Bagi saya, masa yang ada perlu digunakan sebaik mungkin untuk menempa nama dalam bidang penyiaran dan seni tanpa perlu berlengah.

"Setiap tawaran yang datang, saya ambil dan sempurnakan sebaik mungkin bagi memastikan saya terus relevan dalam industri," katanya dalam ukiran senyuman tenang.

PENYAMPAI Radio Kool FM, Khairu Norliza Khairudin atau lebih dikenali sebagai Liza Kool FM. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

Cipta jenama sendiri

Liza mengakui, dirinya gigih mencipta jenama sendiri dalam bidang yang diceburi bagi memastikan beliau diingati dan signifikan, bukan saja di hati peminat tetapi juga di kalangan orang industri.

Katanya, bukan hanya sebagai penyampai, beliau juga menggunakan kepercayaan diberikan sesetengah pihaknya untuknya menjadi pengacara dengan sebaiknya.

"Sebab itu saya tidak pernah mengehadkan landskap pengacaraan saya hanya pada satu jalur seperti hiburan saja, sebaliknya saya mahu menjadi serba boleh.

"Saya gembira kerana pihak stesen misalnya tahu kebolehan saya dan sentiasa memberikan saya peluang, tidak kiralah dalam ruangan radio mahupun televisyen," katanya.

PENYAMPAI Radio Kool FM, Khairu Norliza Khairudin atau lebih dikenali sebagai Liza Kool FM. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

Bangga bersama Kool FM

Bercerita lanjut mengenai tugasnya sebagai penyampai radio, Liza sentiasa positif termasuk kala dipindahkan daripada stesen tumpuan orang muda, Hot FM, ke Kool FM saat namanya sedang melonjak naik.

Liza berkata, beliau tidak pernah melihat perpindahan itu sebagai transisi merugikan meskipun mengakui pada awalnya agak terkejut dengan perubahan dilakukan.

"Saya memandang perkara ini sebagai pembaharuan yang dilakukan kerana pengurusan tahu kebolehan saya. Saya juga lebih selesa kerana mood di stesen baharu lebih kena dengan jiwa saya, termasuk lagu yang diputarkan.

"Saya tidak pernah melihat perpindahan saya sebagai kekurangan, malah ia memberikan fasa baharu dalam memantapkan lagi kerjaya sebagai penyampai," katanya.

Liza gembira kerana beliau berpeluang menjadi penyampai perintis bagi stesen yang baharu dan merasai sendiri pengalaman menjadi antara orang awal yang berusaha menghidupkan saluran berkenaan.

Ternyata, pasukannya berjaya apabila hanya dalam masa tujuh bulan Kool FM kini melebarkan siarannya ke lima frekuensi berbanding sekitar Pulau Pinang dan Lembah Klang ketika memulakan siaran sekitar Mac lalu.

"Pastinya perkembangan ini sangat membanggakan kami keluarga Kool FM kerana semakin diterima dan mendapat pendengar setia yang meningkat saban hari," katanya.

PENYAMPAI Radio Kool FM, Khairu Norliza Khairudin atau lebih dikenali sebagai Liza Kool FM. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

Biar sedap mata memandang

Begitu juga dalam bidang pengacaraan, Liza lebih selesa dilabelkan sebagai seorang yang fleksibel dan tidak terhad kepada satu corak program.

Ketika ini beliau menjadi pengacara untuk menarik pembeli menerusi CJ Wow Shop selain turut menjadi pengacara gantian bagi rancangan Muzik-Muzik sekiranya hos tetap tidak dapat melakukannya.

Selain itu, Liza pernah menjadi pengacara bersama untuk rancangan Rapatkan Saf serta Sembang Sahur pada Ramadan lalu.

Bukan setakat itu, bagi memastikan beliau berada pada landasan betul dalam merencana kerjayanya, Liza tekad mempersiapkan diri dan penampilan supaya nampak manis di depan kamera.

Beliau berkata, bukan mahu cantik atau kurus, tetapi menerima hakikat kerjaya yang memerlukan seseorang itu tampil di depan kamera menuntut seseorang personaliti supaya sentiasa sedap dipandang.

"Saya tahu, ketika awal kemunculan memang penampilan saya kurang menarik, jadi saya berusaha mencari jalan memastikan pakej diri saya lebih lengkap. Ia bukan soal ingin cantik atau sebaliknya, tetapi keperluan sebagai orang yang muncul di depan kamera.

"Sebab itu saya katakan, saya perlu sentiasa peka dengan semua perkara ini kerana usia saya semakin meningkat. Saya tidak boleh main-main dan sebab itu saya mengambil inisiatif sendiri untuk tampil menarik," katanya bersungguh-sungguh.

PENYAMPAI Radio Kool FM, Khairu Norliza Khairudin atau lebih dikenali sebagai Liza Kool FM. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

Usaha sendiri kuruskan badan

Mendirikan rumah tangga bersama pilihan hati, Mohd Khairil Anuar, Februari lalu, wanita dari Pahang ini mengakui beruntung kerana suaminya seorang yang sangat memahami.

Sempat diusik adakah kerana suami seorang jurulatih kecergasan, maka Liza tampil semakin langsing, beliau dengan pantas menafikan perkara itu.

"Saya berusaha sendiri dan suami tidak pernah manjakan saya. Suami selalu pesan, kalau mahu kurus saya kena berusaha sendiri.

"Saya begitupun banyak juga bertanya perihal nasihat dan panduan daripada suami, selebihnya saya lakukan sendiri," katanya yang kini sudah boleh menyarung pakaian saiz S berbanding L sebelum ini.

Selain semakin selesa bergelar suami isteri dan melayari rutin hidup bersama, Liza dan pasangan mengakui bersedia menimang cahaya mata, selain menyerahkannya kepada rezeki daripada Allah.

"Kami bersedia menerima dengan hati terbuka, semuanya kami serahkan kepada yang maha berkuasa," katanya yang tidak keberatan mencuba bidang lakonan walaupun menyedari masanya agak terhad.

PENYAMPAI Radio Kool FM, Khairu Norliza Khairudin atau lebih dikenali sebagai Liza Kool FM. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam
PENYAMPAI Radio Kool FM, Khairu Norliza Khairudin atau lebih dikenali sebagai Liza Kool FM. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam
Berita Harian X