Khamis, 8 Disember 2016 | 12:01am

Sekolah kalis taufan lambang hubungan erat Malaysia, Filipina

SAMANTHA Publete hanya berusia lapan tahun ketika Taufan Haiyan membadai Barangay Nasunogan, perkampungan yang terletak kira-kira 30 minit dari bandar pelabuhan Ormoc di barat Pulau Leyte, tiga tahun lalu.

Anak sulung daripada empat adik-beradik itu masih ingat saat mereka sekeluarga 'terselamat' daripada amukan taufan dengan berlindung di bawah sinki konkrit ketika dinding dan bumbung rumahnya terkopak, seakan-akan direntap Haiyan.

"Saya sangat takut," kata murid Tahun Enam itu mengimbas detik dibadai Haiyan.

"Angin sangat kuat, langit pula sangat gelap," katanya dalam bahasa Bisaya yang diterjemahkan guru Sekolah Rendah Nasunogan, Jenitha Pareja, 35. 

Saya menemui Samantha ketika berkunjung ke sekolah itu pada pada 15 November lalu ketika membuat liputan khas BH pasca-Haiyan. Tiga tahun lalu, saya memasuki Pulau Leyte yang dibadai Haiyan, melalui penerbangan tentera. 

Taufan Haiyan atau Yolanda yang bertiup dengan kelajuan maksimum mencecah 370 kilometer sejam menyebabkan lebih 16 juta warga Filipina terjejas, termasuk 215,000 penduduk Ormoc dan lebih 242,000 penduduk di Tacloban City.


DR Maria Lourdes memeriksa keadaan pesakit jantung, Antonio Robuio, sambil diperhatikan Norazam (kiri) di wad ICU, Hospital Daerah Ormoc disini. - Foto Syed Azwan Syed Ali

MANGSA Haiyan yang juga guru besar Sekolah Rendah Nasunogan, Jovita Donor, 46. - Foto Syed Azwan Syed Ali

Mayat bergelimpangan

Di Tacloban yang juga 'ground zero' Haiyan, ribuan mayat bergelimpangan di jalanan dengan laporan menyebut mayat masih ditemui sehingga Januari 2014, kira-kira tiga bulan selepas taufan membadai Filipina pada 8 November 2013.

"Kamu tidak boleh bayangkan apa yang kami lalui," kata Jovita Donor, 46, mangsa Haiyan yang juga Guru Besar Sekolah Rendah Nasunogan.

Tiga tahun lalu, Sekolah Rendah Nasunogan yang mempunyai dua blok bangunan hampir 80 peratus musnah dengan satu blok bangunan yang menempatkan tiga bilik darjah, ranap sepenuhnya.

"Satu lagi blok bangunan tiada bumbung langsung. Saya putus harapan," kata Jovita sambil matanya mula berkaca barangkali mengenangkan bagaimana sekolah yang ranap itu bangkit berdiri semula dengan pertolongan daripada Malaysia.

Pendidikan awal

Jovita berkata, sekolah itu bukan hanya bermakna kepada guru di situ, sebaliknya kepada penduduk di tujuh zon Barangay Nasunogan yang menghantar anak mereka seawal usia enam tahun, untuk mendapatkan pendidikan awal.

"Di sinilah kehidupan anak kami bermula," kata Jovita yang bersyukur dengan bantuan Yayasan Maybank dan Mercy Malaysia membina semula sekolah itu dengan dana RM400,000 sumbangan rakyat Malaysia pada akhir 2013.

Jovita berkata, tidak seperti badan bukan kerajaan (NGO) lain yang hanya datang bertanyakan khabar dan mengumpulkan maklumat pada November 2013, Mercy Malaysia mengotakan janji dan membina semula sekolah yang musnah itu.

"Sekolah (Rendah Nasunogan) ini lambang persahabatan di antara Malaysia dan Filipina," kata Jovita, Guru Besar yang bangga dengan khidmatnya di sekolah itu, walaupun disediakan hanya sebuah meja dan kerusi sebagai pejabat.

Lebih bermakna apabila sekolah itu dibangunkan dengan konsep kalis taufan, iaitu konsep yang dicanangkan pemerintah Filipina bagi pembinaan bangunan pasca-Haiyan.

Arkitek di sebalik pembinaan sekolah itu adalah Pengarah Program dan Pembangunan Strategik Mercy Malaysia, Norazam Ab Samah, iaitu individu sama yang bertanggungjawab membangunkan sekolah kalis gempa di Aceh, Indonesia. 

"Sekolah ini kita bina tanpa guna kontraktor. Seramai 35 tukang rumah tempatan yang kita latih dan ajar tentang (pembinaan) ciri bangunan kalis taufan," kata Norazam menjelaskan konsep kalis taufan bermula dengan struktur bumbung.

Bumbung Sekolah Rendah Nasunogan tidak mempunyai unjuran keluar bagi menahan tekanan angin melintang. Tambahan besi dan alang anak juga dipasang pada setiap bukaan seperti tingkap dan pintu bagi mengukuhkan bangunan.

Pemerhatian penulis menyaksikan lima blok baharu sekolah terbabit tidak bersambung, yang mana menurut Norazam membabitkan perancangan susun atur bangunan bagi mengurangkan tekanan angin melintang ketika dibadai taufan.


LIRIK lagu tanda terima kasih pelajar Sekolah Rendah Balion kepada rakyat Malaysia. - Foto Syed Azwan Syed Ali


SAMANTHA Publete, 11, berdiri di depan sinki konkrit di rumahnya di Barangay Nasunogan kira-kira 500 meter dari Sekolah Rendah Nasunogan. - Foto Syed Azwan Syed Ali

Bantu mangsa bencana

Sekolah yang dibina mulai Disember 2013 siap sepenuhnya pada Jun 2014 sebelum diserahkan secara rasmi oleh Yayasan Maybank kepada pihak sekolah, penghujung tahun sama.

Ketua Tanggungjawab Sosial Yayasan Maybank, Ahmad Faezal Mohamed, ketika ditemui di Ormoc City berkata, pembinaan sekolah rendah itu adalah sebahagian program kemanusiaan Yayasan Maybank untuk membantu mangsa bencana.

"Kami bangga kerana apa yang Yayasan Maybank dan Mercy Malaysia lakukan menjadi pemangkin kepada pembangunan (masyarakat setempat)," katanya merujuk kepada fungsi sekolah itu yang menjadi pusat pemindahan ketika bencana berlaku.

"Sekolah ini bukan hanya selamat untuk pelajar tetapi selamat untuk komuniti setempat," kata Ahmad Faezal.

Ketika berada di Nasunogan, saya sempat menemubual Farida Fe M Java, 39, ibu kepada murid Tahun Enam di sekolah itu, Lance Levi, 12.

Farida yang menetap berdekatan dengan sekolah itu menyifatkan bantuan Mercy Malaysia sebagai rahmat kerana pihaknya tidak menyangka ada NGO asing yang sanggup mengeluarkan dana membinanya.

"Banyak NGO asing datang dan pergi tetapi hanya Mercy Malaysia mengotakan janji (membina sekolah)," kata Farida yang terperangkap di dalam rumahnya ketika Haiyan membadai selepas pokok tumbang dan menghempap pintu rumahnya.

Farida masih ingat lagi bagaimana dia dan anaknya hanya mampu menangis di bawah tilam yang dijadikan penghadang atas kepala selepas mereka sekeluarga berlindung di dalam tandas ketika Taufan Haiyan bertiup kencang di Nasunogan.

"Saya hanya ingat mati, tetapi Tuhan berikan saya peluang kedua," kata Farida menyifatkan pembinaan sekolah itu memberi harapan baharu kepada 275 murid-muridnya, termasuk Lance yang juga rakan sekelas Samantha. 

Kira-kira 500 meter dari Sekolah Rendah Nasunogan, saya sempat melawat rumah lama Samantha yang dibadai Haiyan.

Perasaan sebak terus menyelubungi saya ketika melihat keadaan rumah Samantha yang daif, tidak berdinding dan hanya berukuran empat meter lebar dan enam meter panjang yang tidak layak dipanggil sebagai rumah di Malaysia.

"Mama, papa, adik dan saya berlindung di bawah sinki ini," katanya menunjukkan sinki konkrit rumahnya yang masih bertahan dengan keadaan lantai yang pecah sebelum meminta untuk kembali ke sekolah ketika waktu rehat tengah hari, tamat.

Samantha hanya membawa 5 peso (40 sen) sehari ke sekolah.

Di sebalik kedaifan masyarakat di Pulau Leyte, mereka tidak meminta-minta, malah amat menghargai bantuan yang dihulurkan seperti Sekolah Rendah Nasunogan yang dianggap lambang persahabatan erat dua negara.

WAKIL Yayasan Maybank Ahmad Faezal Mohamed bergambar bersama guru dan pelajar di Sekolah Rendah Nasunogan. - Foto Syed Azwan Syed Ali
PELAJAR mengikuti kelas komputer di Sekolah Rendah Nasunogan. - Foto Syed Azwan Syed Ali
Berita Harian X