Rabu, 7 Disember 2016 | 11:43pm

Agong, Permaisuri hadiri majlis santapan amal YSB 2016


YANG Dipertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tuanku Hajah Haminah berkenan hadir ke Majlis Santapan Amal anjuran Yayasan Sultanah Bahiyah (YSB) 2016 di Hotel One World, Bandar Utama. Turut hadir Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bersama Isteri, Datin Seri Rosmah Mansor. - Foto Saddam Yusoff

PETALING JAYA: Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah berkenan berangkat ke majlis santapan amal Yayasan Sultanah Bahiyah (YSB) 2016 di sini, malam ini.

Majlis itu, yang bertemakan 'An Evening With The Royal Patron 2016', diadakan bagi meraikan ulang tahun keputeraan Tuanku Abdul Halim yang juga penaung YSB selain menyambut ulang tahun ke-20 yayasan itu.

Turut berangkat hadir ke majlis itu ialah Pengerusi YSB Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Tuanku Abdul Halim yang juga Anggota Jemaah Pemangku Sultan Kedah, Tunku Temenggong Kedah Tan Sri Tunku Sallehuddin Sultan Badlishah merangkap Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah, Tunku Puan Temenggong Kedah Puan Seri Tengku Maliha Tengku Ariff dan Tunku Laksamana Kedah Tan Sri Tunku Abdul Hamid Thani Sultan Badlishah.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor serta Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah dan Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid turut menghadiri majlis itu.

Pada jamuan amal itu, YSB berjaya mengumpul dana sebanyak RM4.6 juta bagi membolehkan yayasan itu meneruskan aktiviti kebajikan dan kemasyarakatan di sekitar Kedah.

Yayasan itu juga melancarkan projek mengumpul dana dengan menjual nombor pendaftaran SMS 1 hingga 9999 bagi memuliakan pemerintahan Seri Paduka sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-5 dan Ke-14.

Majlis itu diserikan dengan acara memotong kek sempena ulang tahun keputeraan Tuanku Abdul Halim, yang turut menerima cendera kenangan berupa set sarapan rekaan khas daripada anakanda Seri Paduka, Tunku Puteri Intan Safinaz.

YSB diperbadankan pada 20 Ogos 1996 bagi menjadi ejen perubahan dalam kerja-kerja kemasyarakatan melalui pendidikan, pembangunan komuniti, kesihatan, remaja dan belia selain bekerjasama dengan badan bukan kerajaan lain serta badan korporat dalam pelaksanaan projek kebajikan. - BERNAMA

Berita Harian X