Rabu, 7 Disember 2016 | 11:01pm

Alderweireld kembali perkuat Tottenham


TOBY Alderweireld. - Foto Reuters

LONDON: Tottenham Hotspur kehilangan khidmat Toby Alderweireld sejak tujuh minggu lalu kerana kecederaan lutut, tetapi dia dijangka akan kembali beraksi untuk perlawanan Liga Juara-Juara menentang CSKA Moscow awal pagi esok.

Pengendali Tottenham, Mauricio Pochettino mengesahkan pertahanan Belgium itu sudah kembali berlatih dan akan disenarai dalam skuad untuk perlawanan terakhir kumpulan di Wembley.

Pochettino mungkin tidak akan menyenaraikan Alderweireld untuk kesebelasan utama kerana tempoh rehat yang panjang dilaluinya, tetapi kehadirannya dalam senarai simpanan sudah cukup untuk mencetus semangat buat Spurs menjelang jadual padat musim sejuk.

Kelab Utara London itu masih berpeluang merebut kejuaraan Liga Perdana Inggeris di mana mereka hanya dibezakan tujuh mata dengan pendahulu, Chelsea selepas 14 perlawanan.

Perlawanan liga seterusnya ialah bertemu Manchester United dan khidmat pertahanan 27 tahun itu pastinya ditagih peminat Spurs.

Dalam kancah Liga Juara-Juara, walaupun harapan mara ke pusingan kalah mati sudah tertutup, Spurs perlu mengelak kekalahan bagi memastikan tempat ke Liga Europa.

"Toby akan terbabit dalam skuad esok. Kami gembira," kata Pochettino. "Dia semakin baik dan penting baginya selepas rehat dua bulan untuk berada dalam skuad.

"Esok (awal pagi ini), mungkin dia akan berada di bangku simpanan, saya mahu dia mendapatkan semula perasaan itu. Kemudian baru saya akan memutuskan sama ada meletakkannya dalam kesebelasan utama atau di bangku simpanan bertemu Manchester United.

"Ia berkenaan persembahan, perasaan, bagaimana kami menilainya." - Agensi

Berita Harian X