Rabu, 7 Disember 2016 | 7:54pm
Finalis Anugerah Juara Lagu (AJL) 31, Suffian Suhaimi.

Suffian Suhaimi kagumi Sam Smith


Suffian Suhaimi.

KUALA LUMPUR: Finalis Anugerah Juara Lagu (AJL) 31, Suffian Suhaimi mengaku kagum dengan bakat penyanyi antarabangsa, Sam Smith.

Suffian yang mempertaruhkan lagu Terakhir ciptaan Sirkhan dan Rinkarnaen pada AJL 31, menggemari konsep muzik yang ditampilkan Smith.

Namun, minat Suffian hanya pada karya dihasilkan Smith, bukan kehidupan peribadi penyanyi itu terutama seksualitinya.

"Saya pandang bakat besar yang dimilikinya. Soal lain, saya tak lihat sebagai perkara yang perlu ditekankan. Saya suka konsep muzik yang diketengahkan Smith.

"Di Malaysia jarang wujud penyanyi sepertinya. Kalau di Malaysia, saya melihat Allahyarham Datuk Sudirman Arshad sebagai idola utama," katanya kepada BH Online.

Mengenai peluang mara ke pentas AJL 31 biarpun masih hijau dalam bidang seni, Suffian menyifatkan ia sebagai rahmat besar.

"Hanya ada beberapa nama seperti saya, Aiman Tino dan kumpulan Projector Band yang mewakili artis generasi baharu. Artis lain sudah mencipta nama dan populariti sendiri.

"Persaingan kali ini sangat sengit dan sihat," katanya yang ditemui pada sidang media AJL 31, petang tadi.

AJL 31 akan disiarkan secara langsung dari Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada 22 Januari depan membawakan tema Cerita Dalam Lagu.

Berita Harian X