Rabu, 7 Disember 2016 | 6:51pm

Zunar fail permohonan cabar larangan ke luar negara


Kartunis Zunar.

KUALA LUMPUR: Kartunis Zunar hari ini mengemukakan permohonan kebenaran bagi semakan kehakiman mencabar keputusan Ketua Pengarah Jabatan Imigresen melarangnya ke luar negara.

Zunar memfailkan permohonan kebenaran itu di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi melalui peguamnya, Eric Paulsen dengan menamakan Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Menteri Dalam Negeri dan Kerajaan Malaysia sebagai responden.

Dalam permohonannya, Zunar atau nama sebenarnya Zulkifli Anwarul Haque memohon perisytiharan bahawa sekatan perjalanan dikenakan terhadapnya pada 17 Oktober lalu adalah pelanggaran Perkara 5(1), 8 dan 9 Perlembagaan Persekutuan.

Beliau juga memohon perisytiharan bahawa responden tidak mempunyai kuasa untuk membuat sekatan perjalanan terhadapnya, sehubungan itu mereka bertindak di luar bidang kuasa.

Zunar memohon perintah mandamus supaya mahkamah mengarahkan responden membenarkannya keluar negara tanpa sebarang sekatan.

Dalam sidang media selepas memfailkan permohonan itu, Zunar berkata, beliau dihalang untuk ke luar negara bagi menghadiri forum di National University Singapore (NUS).

Berita Harian X