Rabu, 7 Disember 2016 | 5:15pm

TERKINI: 97 maut, 213 cedera gempa bumi Aceh

KELIHATAN penduduk Indonesia mengumpul barang-barang yang boleh digunakan dari bangunan runtuh selepas gempa bumi melanda Pidie Jaya, Aceh, Indonesia. - Foto EPA

PIDIE JAYA: Komander tentera wilayah Mejar Jeneral Tatang Suherman berkata, angka kematian akibat gempa bumi berukuran magnitud 6.5 di Aceh kini meningkat 97 orang dengan 213 mangsa cedera.

"Berdasarkan laporan kakitangan tentera dan polis serta sukarelawan, angka kematian kini mencecah 92 orang dan kebanyakannya di Pidie Jaya," kata komander kepada media ketika mengkaji lokasi gempa di daerah ini hari ini.

Tatang diiringi Inspektor Jeneral polis, Rio S Djambak meninjau beberapa lokasi di sepanjang laluan gempa di daerah Pidie, Bireuen dan Pidie Jaya.

Komander wilayah itu berkata, pencarian mangsa yang terselamat diteruskan oleh kerana dianggarkan masih ramai yang terperangkap di sebalik runtuhan.

Bagi mempercepatkan pemindahan, beliau berkata, pihaknya akan mengerahkan pasukan penuh tentera di daerah Pidie, Bireuen dan Pidie Jaya.

Selain tentera anggota polis di daerah itu akan dikerah untuk membantu pencarian bersama sukarelawan daripada agensi mencari dan menyelamat nasional (Basarnas), Sekretariat Radio Antar Penduduk (RAPI), Palang Merah Indonesia (PMI) dan Badan Nasional Penanggulangan Bencana (BPBD).

Rio berkata, ada dua kawasan terjejas teruk akibat gempa iaitu Meureudu, ibu kota Pidie Jaya dan Ulee Glee.

Mangsa yang cedera dipindahkan ke tiga hospital iaitu Hospital Umum Pidie, Hospital Pidie Jaya dan Hospital Bireuen.

Sekurang-kurangnya 92 kedai rosak teruk dan hampir rata di lima daerah iaitu Meureudu, Tringgadengn, Bandar Dua, Bandar Baru dan Meurah Dua, sementara lima masjid rosak teruk. -AGENSI

Berita Harian X