Rabu, 7 Disember 2016 | 1:16pm

Aceh bergoncang, penduduk panik selamatkan diri


ORANG ramai melihat bangunan yang musnah berikutan gempa kuat yang melanda Aceh di Sumatera, awal pagi tadi. - Foto Reuters

JAKARTA: Ribuan penduduk yang panik lari bertempiaran ketika cuba menyelamatkan diri selepas wilayah Pidie jaya, Aceh digoncang gempa bumi berukuran 6.4 magnitud menyebabkan berpuluh bangunan runtuh dan rosak teruk.

Gempa bumi pada kedalaman cetek yang dirasai sekitar jam 5.03 pagi (waktu tempatan) itu tidak mencetus amaran tsunami.

Suasana kalut dan hingar-bingar turut dirakam apabila penduduk tempatan bertempiaran lari memenuhi jalan raya untuk menyelamatkan diri menuju ke kawasan lebih selamat dan tinggi.

Sepanjang perjalanan puluhan kediaman, premis perniagaan dan prasarana runtuh dan rosak teruk termasuk Sekolah Tinggi Agama Islam Aziziyah, Jamalanga, Kabupaten Bireuen, Nanggroe Acheh Darussalam (NAD). Malah tembok bercat kuning pada bangunan itu juga retak teruk.

Turut terjejas beberapa masjid yang mengalami kerosakan teruk termasuk sebuah masjid dua tingkat yang runtuh.

Bagaimanapun, umat Islam tetap terus menunaikan solat subuh walaupun ada sebahagian tiang di masjid-masjid yang terjejas turut runtuh akibat gempa. - Detik.com

Berita Harian X