Isnin, 8 Disember 2014 | 8:46pm
Abdul Wahid (kiri) dan Shazalli bersama peserta Skim Latihan 1Malaysia (SL1M) Celcom. - Foto Azhar Ramli

Khazanah berhak melantik CEO MAS NewCo

KUALA LUMPUR: Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) berhak memilih Christoph R Mueller sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Malaysia Airlines Bhd (MAS NewCo), kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar.

Abdul Wahid berkata, Khazanah berhak berbuat demikian kerana syarikat pengurus pelaburan kerajaan itu yang menyuntik pelaburan RM6 bilion bagi memulihkan syarikat penerbangan nasional itu.

Katanya, pelan 12 perkara pemulihan MAS secara jelas menunjukkan keperluan tokoh yang mempunyai kemahiran diperlukan bagi membantu MAS mencatat keuntungan.

"Kami serahkan kepada Khazanah memilih tokoh terbaik yang mereka fikir mampu menerajui pemulihan MAS.

"Lagi pun dari segi akauntabiliti, tanggungjawab untuk menjadikan ia berjaya sudah diberikan kepada Khazanah," katanya selepas pelancaran Skim Latihan 1Malaysia Celcom di sini hari ini.

Jumaat lepas Khazanah menamakan Mueller sebagai CEO syarikat MAS baharu serta sebagai Pengarah Bukan Eksekutif di Lembaga Pengarah Penerbangan Malaysia (MAS) berkuatkuasa 1 Januari 2015.

Abdul Wahid berkata, Khazanah perlu diberi peluang memilih calon yang boleh menjadikan pelan penstrukturan semula itu berjaya, termasuk pengurusannya.

Mueller kini CEO Aer Lingus Plc, syarikat penerbangan nasional Ireland. Kontraknya dengan Aer Lingus tamat 1 Mei tahun depan.

Datuk Seri Shazalli Ramly, CEO dan Pengarah Celcom Axiata Bhd juga akan dilantik menganggotai Lembaga Pengarah MAS sebagai Pengarah Bukan Eksekutif berkuatkuasa 1 Januari 2015.

Berita Harian X