Rabu, 7 Disember 2016 | 12:08am

Huffaz-M bantu mudahkan hafal al-Quran

PEKAN: Sekumpulan penyelidik Universiti Malaysia Pahang (UMP) berjaya, membangunkan sebuah aplikasi telefon pintar dikenali Huffaz-M, bagi membantu pelajar pusat dan maahad tahfiz untuk menghafal al-Quran bagi menjadi huffaz.

Kumpulan diketuai Ketua Program Pusat Bahasa Moden dan Sains Kemanusiaan UMP, Dr Rashidi Abbas dengan disertai beberapa penyelidik lain turut dibantu pensyarah dari Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat UMP.

Rashidi berkata, idea membangunkan aplikasi itu timbul bagi membantu tiga anaknya berusia antara 13 hingga 17 tahun, yang sedang mengikuti pengajian di Maahad Tahfiz Al Hussainiyyah, Bukit Rang dan Pusat Tahfiz Sungai Badak, kedua-duanya di Jerantut.

Katanya, beliau juga menghasilkan aplikasi berkenaan bagi membantu pusat dan maahad tahfiz menggabungkan penggunaan teknologi supaya tidak bergantung kepada kaedah tradisional semata-mata seperti dilaksanakan sekarang.  


PENGGUNAAN Huffaz-M amat mudah dan hanya perlu memilih ayat belum dihafal yang bermakna pelajar boleh fokus mendengar ayat belum dapat dikuasai dan tidak perlu mendengar keseluruhannya. - Foto Shahrinnahar Latib

RASHIDI menunjukkan kit panduan hafazan, Huffaz-M. - Foto Shahrinnahar Latib

"Aplikasi Huffaz-M ini bagi meningkatkan proses hafazan secara berkesan untuk tiga kaedah iaitu hafazan baru (dars jadid), mengekalkan hafazan lepas (sabiq) dan mengulang-ulang bacaan (taqrir/murajaah).

 

"Kegagalan huffaz menguasai ketiga-tiga sistem ini mengakibatkan mereka tidak dapat menghafaz al-Quran pada tahap maksimum, peratusan tahfiz mendapat Sijil Tahfiz Malaysia masih rendah walaupun ramai mengambilnya," katanya ketika ditemui BH di Fakulti Pusat Bahasa dan Sains Kemanusiaan UMP Kampus Pekan di sini, baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Rashidi berkata, beliau memulakan penyelidikan pada Disember 2014 sehingga Januari lalu dan pada masa kini aplikasi berkenaan sudah boleh dimuat turun menerusi Google Store.

Bagaimanapun, katanya, masih ada penambahbaikan, terutama dari segi kandungannya sedang dijalankan.

 

"Ketika ini hanya ada dua surah iaitu Al-Mulk dan Al-Waqiah, ia dalam proses untuk dibangunkan lagi dan selain itu ada juga kit panduan hafazan yang mempunyai cakera padat (CD) serta buku rujukan.


KIT panduan hafazan, Huffaz-M yang dihasilkan oleh pensyarah Pusat Bahasa Moden dan Sains Kemanusiaan UMP, Dr Rashidi. - Foto Shahrinnahar Latib

Huffaz-M kini sudah boleh dimuat turun menerusi Google Store. - Foto Shahrinnahar Latib

"Penggunaan aplikasi berkenaan amat mudah dan hanya perlu memilih ayat belum dihafal yang bermakna pelajar boleh fokus mendengar ayat belum dapat dikuasai dan tidak perlu mendengar keseluruhannya," katanya.

Beliau berharap aplikasi berkenaan dapat digunakan di semua pusat dan maahad tahfiz seterunya di sekolah seluruh negara bagi membantu melahirkan lebih ramai huffaz untuk memartabatkan Islam di Malaysia.


RASHIDI menghasilkan aplikasi Huffaz-M bagi membantu pusat dan maahad tahfiz menggabungkan penggunaan teknologi supaya tidak bergantung kepada kaedah tradisional semata-mata. - Foto Shahrinnahar Latib

INFO: Huffaz-M

- Aplikasi telefon pintar dan kit panduan Huffaz-M memenangi pingat emas pada Pameran Kreativiti, Inovasi, Teknologi dan Penyelidikan (CITREX) 2016.

- Ia turut memenangi pingat gangsa pada Pameran Inovasi dan Reka Cipta Antarabangsa (ITEX) 2016. 

41 dibaca
KIT panduan hafazan, Huffaz-M. - Foto Shahrinnahar Latib
RASHIDI menunjukkan aplikasi telefon pintar Huffaz-M yang dihasilkan sendiri olehnya ketika ditemui di UMP. - Foto Shahrinnahar Latib
Berita Harian X