Isnin, 8 Disember 2014 | 6:33pm

Bas terbalik, 7 termasuk wanita mengandung cedera


KEADAAN bas persiaran terbalik selepas terbabit kemalangan di KM47 Jalan Gua Musang-Jeli. - Foto Ramli Ibrahim

GUA MUSANG: Tujuh penumpang termasuk seorang wanita sarat mengandung cedera apabila bas persiaran yang disewa khas terbabas sebelum terbalik di KM47 Jalan Gua Musang-Jeli di sini, awal pagi ini.

Empat daripada penumpang berkenaan yang cedera parah dan menerima rawatan di Hospital Gua Musang di sini ialah Nor Adilah Zulkifli, 25, yang sarat mengandung lapan bulan; Rosnah Abdullah, 51; Zulkifli Hassan, 55; dan pemandu bas, Yuzani Yusoff, 28.


KEADAAN bas persiaran terbalik selepas terbabit kemalangan di KM47 Jalan Gua Musang-Jeli. - Foto Ramli Ibrahim

Tiga penumpang yang cedera ringan menerima rawatan sebagai pesakit luar di hospital sama ialah Wan Nor Amilina Wan Salman, 9, Nor Aida Ramli, 15, dan Ramli Musa, 55.

Nahas berlaku pada jam 3.15 pagi.

Mangsa adalah antara 33 penumpang iaitu keluarga anggota Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Wangi Gua Musang dalam perjalanan pulang dari Kuala Perlis, Perlis selepas percutian ke Langkawi.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Supt Saiful Bahri Abdullah, ketika dihubungi, mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian kemalangan bas itu dan sedang menyiasat punca kemalangan itu.

Ketua rombongan, Ramli Che Din, 57, berkata ketika kejadian bas tiba-tiba bergoyang dengan kuat menyebabkan semua penumpang tersedar daripada tidur dan diikuti dentuman menyebabkan penumpang menjerit dan melaungkan takbir.

Katanya, pemandu bas sebelum itu ada memaklumkan bas menghadapi masalah brek ketika berhenti rehat di Tasik Banding, Perak dan kemudiannya meneruskan perjalanan dengan dipandu pemandu kedua.

"Mungkin bas mengalami masalah brek menyebabkan pemandu hilang kawalan dan terbabas sebaik memotong sebuah lagi bas rombongan," katanya.

Rombongan keluarga KRT taman terbabit menaiki dua bas persiaran ke Langkawi pada malam Khamis lepas dan berlepas pulang dari Kuala Perlis pada jam 3 petang kelmarin melalui Jeli untuk ke Gua Musang.

- BERNAMA

44 dibaca
Berita Harian X