Selasa, 6 Disember 2016 | 3:50pm

Polis tahan suspek pecah kedai, rampas sepucuk pistol


Ketua Polis Daerah Sentul, ACP Munusamy Rengasamy (dua dari kanan) menunjukkan pistol jenis Sig Sauer bersama satu kelopak peluru yang mengandungi 10 butir peluru 9mm yang dirampas daripada suspek dalam satu kes cubaan pecah pejabat di Taman Jinjang Baru pada sidang media hari ini. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Polis menahan seorang lelaki dan merampas sepucuk pistol dipercayai digunakan dalam cubaan memecah masuk sebuah kedai di Jinjang Baru, dekat sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner R Munusamy, berkata suspek berusia 38 tahun itu ditahan pada jam 4 petang ketika keluar daripada sebuah kabin kontena di Jinjang Selatan.

"Hasil soal siasat, polis masuk ke kontena itu dan pemeriksaan kemudian menemui sepucuk pistol jenis Sig Sauer bersama satu kelopak peluru mengandungi 10 butir peluru 9 milimeter (mm).

"Turut ditemui dalam kontena itu adalah sebilah parang dan gergaji, yang dipercayai digunakan untuk melakukan kegiatan jenayah," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul, di sini, hari ini.

Katanya, semakan mendapati suspek mempunyai 18 rekod jenayah dengan kes terbaharu awal Oktober lalu, membabitkan kes samun melarikan kenderaan.

"Suspek didapati bergerak secara solo dan pernah terbabit dengan kegiatan samun, pecah rumah dan ugut.

"Bagaimanapun, kita percaya suspek dibantu rakan sejenayah dalam beberapa kes lain," katanya.

Beliau berkata, suspek direman sehingga Jumaat ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api Penalti Penalti Lebih Berat 1971 dan Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960

Berita Harian X