Selasa, 6 Disember 2016 | 12:52pm

Bilic tidak akan dipecat - Sullivan


PENGURUS West Ham, Slaven Bilic. - Foto Reuters

LONDON: Pengurus West Ham, Slaven Bilic terus diberi jaminan oleh pemilik bersama David Sullivan untuk kekal di Stadium London meskipun timbul spekulasi yang mengaitkannya dengan pemecatan.

Laporan semalam mendakwa Bilic bakal dipanggil berbincang bersama Sullivan dan rakan pemilik David Gold susulan kekalahan memalukan 5-1 di laman sendiri kepada Arsenal.

Kekalahan itu meletakkan West Ham, yang sekadar memenangi tiga perlawanan liga musim ini, satu mata di atas zon penyingkiran.

Dalam satu kenyataan selepas perlawanan, Bilic turut mendakwa ada dalam kalangan pemainnya yang kurang berdedikasi semasa sesi latihan.

Tetapi Sullivan meredakan tekanan ke atasnya dengan mengatakan bekas pertahanan West Ham itu akan diberi masa untuk mengatasi situasi yang terjadi.

"Saya melihat kenyataan Slaven selepas perlawanan dan dia sentiasa jujur dalam berkongsi penilaiannya," kata Sullivan kepada laman web West Ham.

"Slaven sangat ghairah mengenai kelab bola sepak ini dan kekalahan ini pasti melukakan dia sama seperti semua orang.

"Saya tidak berasa sangsi dia sedang mencuba segala-galanya untuk mengenalpasti masalah ini dan semua pihak juga sedang memastikan kita dapat mengubah perjalanan kempen ini." - AFP

Berita Harian X