Selasa, 6 Disember 2016 | 8:19am

'Kartel' atur kontrak stadium Piala Dunia Brazil

PERSEMBAHAN bunga api di Stadium Maracana pada majlis penutup Sukan Olimpik 2016 di Rio de Janeiro, Brazil, Ogos lalu. - Foo fail AFP

BRAZILIA: Pihak berkuasa Brazil mendedahkan sebuah firma pembinaan mengakui sebuah 'kartel' dibentuk untuk membida kontrak pembinaan stadium yang terbabit dalam menjayakan Piala Dunia di negara itu pada tahun 2014.

Pihak berkuasa perundangan berkata, siasatan berkenaan sedang dijalankan kemungkinan kartel berkenaan mempunyai hubungan kait dengan skandal Petrobras yang mengheret beberapa nama pemimpin tertinggi politik.

"Ada bukti bahawa sekurang-kurangnya lima tender awam yang dibuat berkait dengan pembinaan stadium untuk Piala Dunia adalah merujuk kepada kartel berkenaan," kata Majlis Keselamatan Pengurusan Ekonomi (CADE), sebuah badan perundangan negeri dalam satu kenyataan.

CADE berkata, firma pembinaan Andrade Gutierrez dilaporkan membuat pendedahan mengenai kewujudan kartel berkenaan selepas bersetuju untuk bekerjasama dengan pasukan penyiasat atau berdepan dengan sekatan.

Antara pembinaan atau projek pengubahsuaian yang terbabit sebahagiannya adalah di Stadium Maracana di Rio de Janeiro dan Arena Pernambuco di Recife.

CADE berkata, siasatan berkenaan adalah sebahagian daripada 'Operasi Cuci Kereta', iaitu siasatan besar-besaran oleh pihak pendakwa raya terhadap skandal rasuah bernilai AS$2 bilion terhadap firma minyak negara, Petrobras.

Skandal berkenaan sudah menyaksikan peletakan jawatan beberapa menteri dalam kerajaan pimpinan Presiden Michel Temer.

Bagi kes rasuah membabitkan stadium Piala Dunia, firma berkenaan berkonspirasi untuk menetapkan kontrak dalam tender awam antara tahun 2007 dan 2011, kata CADE. - AFP

Berita Harian X