Isnin, 5 Disember 2016 | 7:08pm

Bot karam: Nelayan selamat selepas 3 jam paut batu


DUA beradik (tidak berbaju) yang diselamatkan oleh anggota Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) dibawa ke Kompleks Maritim Tun Abang Salahuddin di Muara Tebas, petang tadi.

KUCHING: Dua beradik yang terpaksa berpaut lebih tiga jam pada batu di perairan Tanjung Po, di sini, diselamatkan oleh anggota Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) petang tadi.

Mangsa, Rabuan Jerawi, 50-an dan adiknya Hamdi Jerawi, 40-an, berpaut pada batu berkenaan yang dikenali sebagai 'Batu Mandik' dalam kalangan penduduk tempatan, selepas bot mereka karam dipukul ombak pada jam 2.30 petang.

Pengarah Operasi Maritim Daerah Kuching, Komander Shahref Steve Mac Queen Abdullah, berkata pihaknya menerima panggilan daripada orang awam yang melaporkan kejadian itu pada jam 3.15 petang.

Berikutan itu katanya, dua bot APMM dikerah ke lokasi untuk mencari kedua-dua mangsa.

"Dua nelayan itu ditemui dalam keadaan selamat pada jam 5.05 petang tadi dan mereka dibawa ke Kompleks Maritim Tun Abang Salahhuddin di Muara Tebas.

"Mereka keluar dari Kampung Muara Tebas untuk menangkap ikan pada jam 8 pagi tadi dan bot mereka dilaporkan karam pada jam 2.30 petang selepas dipukul ombak kuat," katanya.

Sehubungan itu beliau mengingatkan nelayan supaya berwaspada dan mengutamakan aspek keselamatan berikutan cuaca tidak menentu ketika ini.

Berita Harian X