Isnin, 8 Disember 2014 | 2:46pm

Dadah: 9 ditahan dalam operasi JSJN, STING

KUALA LUMPUR: Tiga warga tempatan antara sembilan individu yang berjaya ditahan dalam empat operasi berasingan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman (JSJN) bersama Pasukan Khas Taktikal dan Perisikan Narkotik STING) di sekitar Selangor dan Pulau Pinang.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Noor Rashid Ibrahim, berkata pada 4 hingga 7 Disember lepas JSJN dan STING telah berjaya mematahkan empat percubaan penyeludupan dan pengedaran dadah di dua negeri berkenaan yang didalangi sindiket tempatan dan antarabangsa.

Katanya, semua kes berkenaan telah membabitkan tangkapan seramai sembilan orang suspek, terdiri daripada tiga rakyat tempatan, tiga warga negara Nigeria, dua warga negara Iran dan seorang warga negara Thailand.

"Menerusi empat operasi itu, Pihak polis berjaya merampas pelbagai jenis dadah berjumlah 128.98 kilogram, terdiri daripada dadah jenis ganja sebanyak 119.4 kilogram dan dadah Syabu 10.58 kilogram dan keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM 1.5 juta," katanya dalam sidang media di Bukit Aman tengah hari tadi.

Noor Rashid berkata, tiga lelaki warga negara Nigeria terbabit ditahan dalam operasi pertama pada 4 Disember lepas di sekitar Taman Sri Mentari, Petaling Jaya.

Katanya, dalam operasi itu pihak polis berjaya merampas sebuah kotak mengandungi sejumlah 1.02 kilogram dadah syabu dianggarkan bernilai RM100,000 yang disorokkan di dalam peralatan seperti adapter dan mesin pengira wang Bungkusan dadah itu didapati telah diseludup dari Yuexiu, China menggunakan syarikat perkhidmatan kurier di Petaling Jaya.

Sementara dalam kes kedua, pihak JSJN KLIA menemui dan merampas sejumlah 3.4 kilogram dadah syabu dianggarkan bernilai RM350,000 yang disorokkan dalam ruangan khas bawah beg yang telah diubahsuai.

"Operasi itu dijalankan di pejabat bagasi tidak dituntut di KLIA pada pada 5 Disember lepas dan didapati beg berisi dadah itu telah dihantar dari Doha ke Kuala Lumpur melalui penerbangan Qatar Airways," katanya.

Noor Rashid berkata, pihak polis juga berjaya dua orang warga negara Iran, seorang lelaki dan wanita pada 6 Disember lepas selepas didapati berada dalam keadaan mencurigakan di kawasan tuntutan bagasi di KLIA.

"Hasil pemeriksaan, polis berjaya menjumpai dan merampas dadah syabu seberat 6.16 kilogram yang disorokkan di ruangan bagasi itu yang dianggarkan bernilai RM620.000." Katanya.

Beliau berkata, dalam kes terakhir di antara 6 hingga 7 Disember lepas, JSJN dan STING telah melancarkan satu operasi dan berjaya menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah di sekitar Pulau Pinang dan Kedah.

Katanya, operasi itu berjaya menahan tiga warga negara tempatan dan seorang warga negara Thailand dan merampas 119 ketulan ganja mampat seberat 119.4 kilogram, yang disorokkan di dalam lima guni beras bernilai RM400.00.

"Hasil operasi ini juga pihak polis berjaya menyita dua kereta jenis Honda dan Proton, dua motosikal berkuasa tinggi jenis Ducati dan Aprilla, wang tunai berjumlah RM 7000 serta 420 bath Thailand. Dadah berkenaan telah dihantar melalui jalan laut dari daerah Satun, Thailand ke Malaysia," katanya.

Semua mereka yang ditangkap berumur antara 19 dan 58 tahun dan direman untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39(B) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh membawa kepada hukuman gantung sampai mati.

21 dibaca
Berita Harian X