Isnin, 5 Disember 2016 | 4:18pm

Wenger laung amaran kepada pesaing liga


Arsene Wenger

LONDON: Arsene Wenger memberi amaran kepada pencabar kempen Liga Perdana Inggeris (EPL) bahawa Arsenal belum mencapai tahap terbaik meskipun berkenduri gol ketika membelasah West Ham 5-0 kelmarin.

Sensasi Alexis Sanchez yang menjadi mesin gol baharu Arsenal meledak hatrik dalam tempoh 14 minit untuk terus memberi tekanan kepada Slaven Bilic.

Mesut Ozil dan Alex-Oxlade Chamberlain turut menjaringkan gol untuk memastikan Arsenal sekadar terpisah tiga mata dengan peneraju Chelsea.

Tetapi Wenger berkata: "Kami masih boleh melakukan lebih baik. Masih ada ruang untuk ditingkatkan.

"Sejak permulaan kempen kualiti kami dari segi penyudah jika dibandingkan dengan peluang agak seimbang. Malah lebih bagus dari tahun lalu. Kami hanya terlepas 20 peratus peluang, tahun lalu kami mensia-siakan lebih banyak."

Penyerang gantian, Andy Carroll menyumbat gol sagu hati dalam kepulangan daripada kecederaan. Tetapi penyokong West Ham yang berang dengan persembahan pasukan meninggalkan awal Stadium London sebelum perlawanan tamat.

Walaupun pengurus West Ham, Bilic menegaskan penghijrahan daripada Upton Park bukannya sebagai punca, Wenger pula berpendapat sebaliknya apabila menjelaskan 'kekurangan sejarah' di gelanggang baharu menyebabkan tuan rumah kehilangan arah.

"Ia memerlukan lebih daripada setahun. Saya fikir dua tahun untuk merasai seperti gelanggang keramat sendiri. Kerana anda terlebih dulu perlu melakar sejarah.

Di Upton Park, penyokong duduk bersebelahan antara satu sama lain. Dengan mengingati lima tahun lalu anda menewaskan Manchester City di sini, ataupun Arsenal. Dan kini, tiada sejarah di sini untuk mereka.

"Jadi, mereka perlu mencipta sejarah untuk pengalaman ini dikongsi bersama penyokong, dan ia sekali gus membuat pemain berasa yakin mereka bermain di venue sendiri bukannya gelanggang terkecuali. Ia memerlukan dua tahun." - Agensi

Berita Harian X