Isnin, 5 Disember 2016 | 4:17pm

Mark Adam tak terasa hati kritikan Ramli MS

KEADAAN ibu kota Kuala Lumpur berjerebu dengan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) mencatatkan 125 pada jam 11.45 pagi ketika tinjauan dari Menara Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL). - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

KUALA LUMPUR: Penyanyi, Mark Adam yang menggalas tanggungjawab sebagai guru vokal kepada Siti Sarah menerima kritikan juri tetap program Gegar Vaganza musim ketiga (GV3), Datuk Ramli MS dengan hati terbuka.

Mark atau nama Islamnya Fikri Mark Adam, 37, berkata selaku penasihat vokal penyanyi itu, beliau menganggap ulasan Ramli semalam sebagai nasihat berharga dalam memperbaiki lagi mutu nyanyian anak didiknya, sekali gus tidak timbul isu terasa hati.

"Keluarga saya dan Sarah mula rapat sejak menjayakan program Juara Parodi, tahun lalu. Apabila Sarah meminta saya membantunya untuk GV3, saya cukup berbesar hati menurunkan ilmu serta memberi serba sedikit bimbingan.

"Sudah tentu pada masa sama saya juga terbuka menerima kritikan Tok Ram (Datuk Ramli). Apatah lagi beliau mempunyai kredibiliti selaku insan yang berpengetahuan luas dalam bidang nyanyian dan muzik. Nasihat mereka yang berpengalaman sangat bermakna," katanya kepada BH Online.

Malam tadi, Ramli mengakui tidak suka dengan permulaan nyanyian Sarah menerusi lagu I Will Always Love You yang juga pertaruhan pertamanya pada kemuncak itu.

Sebagai penasihat vokal, Mark secara tidak langsung merasa bertanggungjawab di atas komen berkenaan.

PERSEMBAHAN Siti Sarah pada Konsert Akhir Gegar Vaganza musim ketiga di Shah Alam, malam tadi. - Foto Adi Safri

Sementara itu, selain Sarah, Mark pernah mengajar vokal kepada beberapa artis tempatan seperti Mizz Nina, Asmidar, Sheryl Koh serta Ewal (AF).

Terdahulu, penyanyi asal Filipina itu meninggalkan kerjaya sebagai guru vokal di Pusat Latihan Muzik, The Singing Shop bagi memberi tumpuan terhadap bidang nyanyian selepas kejayaan single pertamanya, Pencuri, pada 2013.

"Saya tidak ralat biarpun ramai yang tidak mengetahui latar belakang saya sebagai gurul vokal. Setiap pendedahan untuk cabang seni yang saya ceburi adalah satu rahmat dan saya bersyukur melalui banyak pengalaman berharga," katanya.

Berita Harian X